9 Sebab Bayi Susah Tidur & Selalu Terjaga Tengah Malam

bayi susah tidur
[rank_math_breadcrumb]

Sejak adanya bayi, tidur kita juga mula terganggu kerana si kecil yang selalu terbangun di tengah malam. Menurut pakar kanak-kanak, ada bayi yang dilahirkan dengan corak tidur yang ‘terbalik’. Bak burung hantu, mereka lebih aktif pada waktu malam. Apapun, mendapatkan rutin tidur yang berkualiti amat penting untuk perkembangan minda dan fizikal kanak-kanak dan mereka boleh dilatih untuk berbuat demikian

Oleh itu, kenalpasti terlebih dahulu beberapa sebab bayi susah tidur dan mudah terbangun semasa tidur malam.

9 Sebab Bayi Susah Tidur & Selalu Terjaga Tengah Malam

Berikut adalah antara sebab bayi susah tidur dan mudah terjaga.

1. Kurang Selesa

Antara sebab paling utama bayi susah tidur adalah kurang selesa. Selain pakaian yang selesa, kita juga mahu tidur dalam keadaan bilik yang suhunya mendamaikan supaya lebih nyenyak. Berikan pakaian yang sesuai mengikut suhu bilik ketika itu.

Semasa bayi berada di dalam rahim, mereka senang dengan rasa dipeluk, didodoi, dan bunyi bising yang digelar ‘white noise’Jadi, bayi belum terbiasa untuk tidur sendiri di dalam katilnya tanpa ada ketiga-tiga perkara ini. Apa yang boleh anda cuba adalah membedungnya supaya mereka rasa seperti dipeluk setiap masa.

2. Gajet Sebelum Tidur

Sama seperti dewasa, bayi juga perlu tidur dalam keadaan bilik yang gelap. Dalam keadaan yang gelap, otak boleh memberi signal pada badan untuk tidur lebih nyenyak dengan cara mengawal suhu badan dan merembeskan hormon yang optimum.

Selain itu, elakkan bayi untuk bermain dengan gajet atau menonton televisyen sebelum masuk tidur. Hal ini kerana rancangan tersebut akan menstimulasikan otak dan menyebabkan bayi sukar untuk tidur. Pencahayaan sebelum tidur juga boleh mengurangkan kualiti tidur.

3. Rutin Yang Tidak Konsisten

Pada awalnya, anda akan mendapati bayi mudah untuk tertidur. Namun, setelah beberapa minggu atau bulan, ada sesetengah bayi yang mula kerap terjaga dan senang meragam.

Seeloknya lakukan rutin yang sama setiap hari agar bayi lebih mudah mengetahui isyarat untuk tidur. Contohnya, mandikan mereka, beri urutan yang menenangkan, dan membaca buku cerita. Jangan lakukan aktiviti yang terlampau aktif seperti bermain bergurau-senda. Ini kerana, bayi mungkin akan berasa ‘excited’ dan sukar untuk tidur selepas itu.

4. Baru Sembuh Dari Sakit

Jika anak baru baik dari sakit, maka lagi susahlah dia untuk kembali pada corak tidur asalnya. Hal ini kerana ketika dia sakit, tidur malamnya terganggu terutamanya apabila dia terkena sakit perut. Bukan mudah untuk tidur ketika sakit. Kita juga sering dibangunkan kerana si anak kerap muntah atau cirit-birit. Sudah tentu waktu itu, kita sudah mengubah sedikit cara tidurnya seperti membuaikan atau tidur sambal dukung untuk menenangkannya.

Namun begitu, apabila sudah sembuh, si anak pula sukar untuk kembali tidur dengan cara asal. Anak juga perlu masa untuk menyesuaikan diri kembali untuk tidur seperti biasa.

5. Traveling

Jika selama ini rutin hariannya hanya di rumah dan sekali-sekala keluar, pasti tiada masalah untuknya tidur. Tetapi bila kita ajaknya ke perjalanan jauh anak juga turut kepenatan dan rasa rimas. Anak lebih mudah merengek dan tidak mahu tidur. Keselesaannya di rumah sudah digantikan dengan perjalanan jauh yang memenatkan. Apabila kita baru pulang melancong dengannya, pasti dia akan mengalami kesukaran untuk tidur.

Di tempat peranginan juga aktivitinya berubah, tidur pula di tempat berbeza. Pasti dia juga rasa janggal. Kita boleh gunakan cara lain supaya anak boleh tidur dengan mudah di tempat asing buat sementara. Namun begitu, jangan sampai terbawa-bawa sehingga ke rumah. Jika diteruskan, kita pula yang perlu tetap pada rutin tidurnya yang baru.

6. Sedang Belajar Perkara Baru

Tanpa kita sedari, si kecil makin membesar. Sekarang sudah cuba untuk menyiarap. Kadang-kadang, si anak mahu berlatih meniarap pada waktu tidurnya. Ambil langkah untuk melatihnya menyiarap dengan selesa pada siang hari.

Selain itu, beri kebebasan kepada anak untuk tidur pada posisi yang dia paling selesa. Pastikan tempat tidurnya selamat dan selesa tanpa terlalu banyak bantal atau mainan.

7. Terbiasa Tidur Dengan Susu

Kita biasakan anak untuk tidur dengan menyusu. Bila kita bangun dari menyusu badan atau susu botolnya sudah habis, bayi terbangun dan mula menangis. Seeloknya, cuba bertenang dan angkat bayi sebentar. Kemudian, dodoikan dan letak semula apabila dia tidur kembali. Jika sudah didodoi dan masih tidak berkesan, barulah berikan bayi susu. Itu tandanya bayi masih lapar.

Tidur dengan susu sebenarnya bukanlah tabiat yang baik untuk dipraktikkan. Hal ini kerana, jika terbawa-bawa sehingga tumbuh gigi, gigi si kecil mudah berlubang akibat karies gigi. Oleh itu, jangan biasakan bayi tidur dengan susu sejak kecil. Sebaliknya, tidurkan bayi apabila dia sudah kenyang.

8. Bayi Tidak Dilatih Tidur Sendiri

Jika selama ini dia tidur dalam buaian atau pangkuan kita, pasti susah untuk kita ajarnya tidur sendiri. Latih anak untuk tidur tanpa perlu didodoi secara berperingkat.

Pada awal tidurnya, dodoi sehingga tertidur. Kemudian hentikan gerakan bila dia sudah terlelap. Jika terbangun, dodoi sedikit kemudian berhenti lagi. Kurangkan gerakan sedikit demi sedikit. Jika bayi sudah boleh terima tidur tanpa gerakan barulah kita boleh ajarnya tidur sendiri. Kemudian jika bayi terbangun ketika tidur sendiri, cukuplah sekadar tepuk-tepuk sedikit tanpa perlu mengangkatnya.

9. Bayi Lapar

Agak mustahil untuk si kecil tidur dalam keadaan lapar. Terutamanya untuk bayi baru lahir, saiz perutnya masih kecil dan perlu kerap diisi. Oleh itu, menyusu ketika malam amat penting untuk tumbesarannya. Tetapi bila sudah sedikit besar, perutnya sudah boleh menampung lebih makanan. Maka, cuba latih untuk tidur dalam keadaan kenyang.

Namun begitu, menyusu bukanlah satu-satunya cara untuk menenangkan bayi susah tidur. Berikannya susu pada permulaannya sahaja. Kemudian, jika asyik terbangun,cukuplah sekadar dodoian lembut.

Bayi Perlu Masa Untuk Menyesuaikan Diri

Mengajar bayi untuk tidur sendiri bukanlah perkara mudah dan perlukan banyak kesabaran. Kita dan bayi perlu mencapai satu solusi untuk mencapai tidur yang nyenyak bagi keperluan masing-masing.

Selain itu, jangan lupa minta bantuan pasangan supaya anda tidak mengalami masalah kekurangan tidur yang serius. Ia boleh menjejaskan mental dan emosi secara mendalam sekiranya tidak ditangani dengan berkesan.

Kongsikan Artikel Ini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jom Baca Artikel Di Bawah