7 Kesilapan ‘First Time Mom’ Selalu Buat. Cuba Elakkan!

[rank_math_breadcrumb]

“Peningnya kepala aku dengar Aisya menangis. Dahlah aku baru nak lelap mata, dia pula dah bangun. Tak sangka letih betul menjaga anak. Inipun baru seorang. Entah-entah cara berpantang aku yang tak betul?”

Sebagai ibu yang baru pertama kali menyambut kelahiran bayi, ianya tentu merupakan pengalaman yang tidak akan dilupakan. Memang seronok dan bersyukur apabila dikurniakan cahaya mata. Tetapi, ada kalanya terlalu banyak perkara berlaku dengan begitu cepat hingga anda berasa begitu letih dan tidak mampu bertahan.

Selain mengamalkan cara berpantang yang sewajarnya, terdapat beberapa kesilapan yang cenderung dilakukan oleh ibu baru atau ‘first time mom’. Adakah anda melakukan salah satu daripadanya?

7 Kesilapan Ibu Selalu Buat Sewaktu Pertama Kali Menimang Cahaya Mata

Berikut adalah beberapa perkara yang sepatutnya anda elakkan, walaupun pertama kali bergelar ibu.

1. Terlalu Cepat Panik

Anak yang baru lahir memang kelihatan begitu kecil, lemah, dan ‘fragile’. Walaubagaimanapun, anda tidak semestinya panik sekiranya keadaan kesihatan mereka normal semasa dilahirkan.

“Kenapa bayi belum kencing / buang air besar lagi?”

“Kenapa bayi asyik muntahkan semula susunya?”

“Cukupkah susu yang diminum bayi hari ini?”

“Bahayakah kalau bayi menangis waktu senja begini?”

Memang banyak persoalan yang akan terbit dalam fikiran ibu, namun tidak semuanya memerlukan jawapan. Selagi mereka kelihatan aktif dan sihat, cukuplah untuk anda tahu bahawa bayi anda sebenarnya berada dalam keadaan yang baik. Mereka sedang menyesuaikan diri dan begitu juga dengan anda.

2. ‘Tension’ Apabila Bayi Menangis

Bayi menangis adalah normal. Memang itu merupakan salah satu cara komunikasi mereka.

Kebanyakan ibu berasa serba salah dan cepat goyah apabila mendengar bayi mereka menangis. Menurut laman web kesihatan WebMD,  tangisan bayi sering dikaitkan dengan sesuatu yang negatif dan perlu diberi perhatian. Sedangkan, ia adalah sesuatu yang normal buat mereka.

Walaupun bayi sudah ditukar lampin dan kenyang, mereka masih boleh menangis kerana mereka ingin berkomunikasi, bukannya kerana anda tidak menjalankan tugas yang baik sebagai seorang ibu. Bahkan, sesetengah ibu berasa begitu tertekan sehingga mereka mengalami tekanan perasaan apabila tidak berjaya mententeramkan bayi yang menangis.

3. Segan Meminta Pertolongan

Seorang ibu baru biasanya berasa kekok untuk meminta seseorang menguruskan bayi. Ada yang risau, tak percayakan orang lain, atau malu kerana terpaksa meminta pertolongan walaupun daripada suami sendiri.

Sebagai seorang ibu, tentulah kita berasa kita mahu melakukan semua perkara untuk anak kita. Namun, perkara pertama yang kita perlu tekankan adalah kesihatan kita. Selain mengamalkan cara berpantang yang betul, kita perlu juga banyak berehat dan menerima bantuan orang lain. Ini semua dapat membantu kita untuk keluar daripada stres dan membuat keputusan dengan lebih bijak.

4. Rasa Bersalah Mengambil Cuti Bersalin

Sekiranya anda bekerja, anda patut tahu hak anda untuk mengambil cuti bersalin mengikut kemampuan dan keselesaan anda.

Jadi, tak perlu rasa bersalah atau malu kerana terpaksa memperpanjangkan cuti sekiranya berlaku hal-hal yang tidak dapat dielakkan.

5. Mempercayai Mitos Dan Sumber Kesihatan Yang Tidak Benar

Salah satu bahaya media sosial dan internet adalah lambakan informasi yang boleh berakar dari mana-mana. Ironinya, dalam zaman moden ini, segala jenis mitos dan kepercayaan karut masih boleh tersebar luas dan mudah dipercayai tanpa diketahui asal-usulnya.

Jika ia berkaitan dengan kesihatan bayi anda terutamanya, pastikan maklumat tersebut boleh dipercayai kesahihannya. Sekiranya anda merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan bayi, rujuklah terus kepada doktor atau pakar yang bertauliah.

6. Menganggap Menyusu Badan Terlalu Mudah / Susah

Menyusu badan kini menjadi ‘trend’ di mana semakin ramai yang memperjuangkannya dan memperkatakan tentangnya secara terbuka. Ia boleh menjadi sesuatu yang mudah atau susah untuk seseorang wanita, bergantung kepada keadaannya.

Oleh itu, teruskan usaha anda dan jangan tertekan sekiranya anda masih belum dapat melakukannya seperti apa yang anda harapkan.

7. Mengabaikan Rumah Tangga

Semasa pertama kali membawa bayi ke rumah, normal untuk kita berasa ‘attached’ terhadap bayi. Kita risaukan bayi dan sentiasa fokus untuk memberi penjagaan yang terbaik untuknya.

Namun begitu, jangan pula kita membiarkan diri kita terabai, letih, dan ‘moody’ sehingga ia menjejaskan hubungan kita dengan suami. Begitu juga dengan suami. Bantulah isteri menghadapi tempoh ini selagi terdaya kerana mereka telah banyak berkorban untuk anda. Kesefahaman dan toleransi daripada kedua-dua pihak adalah amat penting untuk melalui fasa ini.

Jangan Risau, Anda Akan Membiasakan Diri

Biasanya, ibu bapa akan mengambil sedikit masa untuk membiasakan keadaan dengan bayi pertama. Namun, selepas itu, mereka akan berasa lebih selesa dan dapat melakukan semuanya dengan lebih lancar.

Oleh itu, beri masa pada diri sendiri dan jangan terlalu stres untuk memikirkan apa yang terbaik buat bayi anda. Nikmatilah masa bersama bayi dan anda tentu akan dapat berasa lebih tenang selepas ini.

Kongsikan Artikel Ini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jom Baca Artikel Di Bawah