5 Tanda Kemurungan Selepas Bersalin Yang Suami Perlu Tahu

[rank_math_breadcrumb]

“Kenapa dengan isteri aku ni, dah lebih 2 minggu sejak bersalin masih nampak lemah, letih, dan kusut semacam. Minggu depan aku dah masuk kerja, takut dia tak dapat uruskan diri dan anak pula. Mungkinkah dia ada tanda kemurungan lepas bersalin yang cakap ‘meroyan’ tu? Risaunya.”

Kita sering mendengar kes wanita meroyan lepas bersalin yang dahsyat hingga mencederakan diri sendiri dan juga bayi yang baru lahir. Berbeza dengan ‘baby blues’, ‘postpartum depression’ atau ‘gila meroyan’ ini adalah tahap kemurungan yang lebih serius dan perlu diberi perhatian. Wanita tersebut mungkin tidak menyedari tindakan yang mereka lakukan dan kesihatan mental adalah amat membimbangkan.

Menurut laman web momjunction, sehingga kini punca berlakunya kemurungan selepas bersalin ini tidak dapat dikesan dengan jelas. Namun, ia dapat dikaitkan dengan kombinasi beberapa masalah seperti perubahan hormon wanita, kekurangan tidur yang kronik, keletihan yang serius, kerisauan yang berpanjangan, dan mungkin juga pengambilan bahan kimia yang menyebabkan ‘mood swing’.

Foto Kredit: shutterstock.com

5 Tanda Kemurungan Selepas Bersalin

Penting untuk kita mengetahui tanda kemurungan selepas bersalin kerana ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.

Antara tandanya adalah:

1. Sering Kelihatan Muram

Salah satu tanda yang paling mudah dilihat adalah pada emosi yang tergambar di wajah mereka. Mereka seringkali menangis, marah, dan kadangkala berasa takut tanpa alasan yang munasabah.

Berbeza dengan ‘baby blues’, kemurungan adalah lebih teruk di mana ia boleh berlanjutan sehingga berminggu-minggu dan berbulan-bulan selepas melahirkan bayi. Malah, dari hari ke hari, emosi mereka semakin kelihatan tidak stabil hingga menjejaskan hubungan dengan bayi.

Salah satu daripada faktor yang menyebabkan perasaan ini adalah keengganan untuk hamil atas beberapa sebab seperti terlanjur atau jarak kehamilan yang terlalu rapat.

Foto Kredit: istockphoto.com

2. Sukar Tidur

Oleh kerana emosi yang terganggu, mereka yang memperlihatkan tanda kemurungan selepas bersalin ini biasanya mengalami kesukaran untuk tidur. Hal ini sekaligus menyebabkan tubuh badan mereka tidak bermaya.

Kekurangan tidur dan rehat yang kronik boleh menjejaskan lagi emosi ibu yang baru lepas bersalin. Malah, ia boleh mendorong mereka untuk berhalusinasi. Oleh itu, suami sebagai orang yang terdekat perlulah sentiasa memantau dan memberi sokongan dalam menguruskan penjagaan bayi sebaik mungkin.

Foto Kredit: npr.org

3. Kekeliruan

Mereka yang dilanda kemurungan ini selalunya akan menganggap diri mereka bersalah atau tidak cukup baik untuk memikul tanggungjawab sebagai ibu. Ketakutan ini menjadikan mereka berasa paranoid atau takut untuk menguruskan bayi.

Malah, ada masanya mereka terlalu mengimbau masa lalu yang sedih hingga menyebabkan mereka keliru akan perasaan mereka terhadap bayi. Segelintir wanita yang berkeadaan seperti ini mungkin melahirkan bayi yang mengalami kecacatan, masalah kesihatan, atau pra-matang.

4. Mengasingkan Diri

Mereka yang mengalami kemurungan mungkin akan kelihatan kurang bersemangat, tidak suka bersemuka dengan orang luar, dan lebih selesa bersendirian.

Walaupun begitu, mungkin sesetengah wanita ingin bersendiri kerana berasa letih dan mahu sedikit ‘me time’ setelah seharian mengurus bayi. Bagi suami, penting untuk mereka memainkan peranan untuk memantau keadaan isteri setiap masa.

Foto Kredit: worldhijabday.com

5. Perubahan Pola Makanan

Perubahan emosi ini turut menjejaskan pola pemakanan yang luarbiasa – sama ada menjadi kurang berselera atau terlebih makan.

Jika mereka memperlihatkan tanda ini sehingga menjejaskan berat badan dan kesihatan mereka, maka anda perlu lakukan sesuatu untuk membantu mereka daripada terus melakukannya.

Foto Kredit: newsrescue.com

Isteri Perlu Sokongan Suami

Kehamilan dan kelahiran merupakan detik yang amat besar bagi seorang wanita. Walaupun ini mungkin kali pertama anda berdua dikurniakan zuriat, janganlah berasa kekok untuk berada di samping isteri pada kebanyakan masa. Anda tidak sepatutnya membiarkan ibu anda, ibu mertua, ataupun bidan untuk menguruskan isteri dan anak anda sepenuhnya. Sebaliknya, lakukan persediaan dan pastikan anda memberi sokongan terhadap isteri sejak waktu mengandung lagi.

Sekiranya anda perhatikan tanda kemurungan selepas bersalin ini semakin membimbangkan dan berlanjutan, bawalah isteri anda untuk sesi kaunseling di klinik-klinik pakar. Terdapat juga ubat yang boleh dipreskripsikan kepada ibu. Di samping itu, perbanyakkan berdoa dan pastikan bayi sentiasa berada dalam keadaan selamat dan sihat.

Kongsikan Artikel Ini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jom Baca Artikel Di Bawah