5 Jenis Gambar Anak Yang Tak Patut Anda ‘Upload’ Di Media Sosial

[rank_math_breadcrumb]

“Sejak dah ada anak ni, memang penuh telefon dengan gambar anak-anak saja. Patutlah ramai Mak-mak yang suka ‘upload’ gambar anak di media sosial. Tapi, akhir-akhir makin banyak kes pelik-pelik, ni yang rasa takut pula nak buat macam tu.”

Sebagai ibu, kita tak terlepas daripada mengambil foto anak-anak, terutamanya yang masih kecil. Bukan apa, cuma bertujuan menyimpannya dan melihat kembali sebagai kenangan. Kadangkala, 1-2 gambar yang terpilih kita akan kongsikan di media sosial juga sebagai perkongsian dengan saudara-mara dan rakan terdekat.

Walaubagaimanapun, apa yang patut kita pertimbangkan semasa memuatnaik gambar anak di media sosial? Ini 5 perkara yang perlu anda elakkan.

5 Jenis Gambar Anak Yang Tak Patut Anda ‘Upload’ Di Media Sosial

Untuk menjaga kesejahteraan dalam usaha mengelakkan sebarang yang tidak diingini, jauhilah daripada memuatnaik 5 jenis gambar anak ini.

1. Gambar Aurat Anak

Benar, anak-anak yang masih kecil masih belum wajib menutup aurat. Namun, jangan sampai anda memandang remeh terhadap maruah sehingga bebas berkongsikan gambar mereka yang ‘seksi’ atau tidak berpakaian lengkap.

Tanpa anda sedari, gambar-gambar sebegini berpotensi untuk jatuh ke tangan orang yang tak bertanggungjawab dan menyalahgunakannya untuk tujuan yang memudaratkan.

gambar anak
Foto Kredit: aviva.co.uk

2. Insiden Yang Memalukan Anak

Bagi sesetengah ibu bapa, insiden tertentu kelihatan lucu tetapi tidak pula begitu bagi seorang anak.

Contohnya rakaman video atau gambar anak anda yang sedang ‘tantrum’, kencing malam, atau mendapat keputusan peperiksaan yang tidak dihajatinya. Apabila anak sedang meningkat usia terutamanya, mereka amat sensitif dan tidak suka menjadi bahan tontonan orang ramai. Malah, mereka mungkin diejek apabila dewasa kerana insiden yang ‘viral’ tersebut.

Oleh itu, fikirlah sedalamnya sebelum anda berkongsikan peristiwa sebegini dan hormatilah pendirian mereka sewajarnya.

Foto Kredit: tabnak.ir

3. Gambar ‘Ultrasound’

Akhir-akhir ini, trend memuatnaik gambar ‘ultrasound’ kandungan semakin popular, tambahan pula dengan pelbagai teknologi yang memudahkannya. Sebut saja ‘ultrasound’ jenis 2D, 3D, dan 4D, semuanya bak berada di hujung jari.

Menurut ulasan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, walaupun foto sebegini bukanlah termasuk dalam aurat ibu, namun ianya bertentangan dengan maksud janin dalam bahasa Arab yang bermaksud sesuatu yang tersebunyi. Selain itu, tidak mustahil gambar-gambar sebegini boleh menimbulkan aib atau fitnah.

Foto Kredit: youtube.com

4. Butiran Peribadi Mereka

Apabila anda memuatnaik gambar anak, pastikan tiada butiran peribadi yang terpampang sama – contohnya nama penuh, lencana sekolah, jadual pergi-balik sekolah, IC anak, kad rawatan anak, dan sebagainya.

Semua maklumat dan butiran peribadi ini perlulah anda simpan kerana ia membolehkan sesiapa saja menyalahgunakan maklumat atau menjejaki mereka dengan mudah.

Foto Kredit: jpn.gov.my

5. Gambar Dengan Anak Orang Lain

Mungkin anda seorang yang ‘open-minded’ dan suka berkongsi apa saja yang dilakukan oleh anak anda. Namun sebelum anda memuatnaik dan ‘tag’ ibu kepada kawan-kawan anak anda, pastikan mereka memberi kebenaran untuk anda berbuat demikian.

Ini kerana, mungkin sesetengah orang amat sensitif jika anak mereka di’tayang’kan kepada umum dalam keadaan tertentu, lebih-lebih lagi jika anda berkongsi pula lokasi sekolah atau alamat rumahnya. Secara tidak langsung, anda mendedahkan maklumat yang dapat membahayakan privasi keluarga tersebut.

gambar anak
Foto Kredit: ckcpreschool.com

Memang Comel, Tapi Kena Lebih Berhati-hati!

Tidak dinafikan, setiap individu mempunyai hak dan alasan masing-masing untuk memuatnaik apa saja yang mereka ingin kongsikan. Namun, sebagai ibu bapa, kita harus lebih peka dan meletakkan keutamaan dalam aspek keselamatan, lebih-lebih lagi apabila jenayah siber semakin berleluasa.

Kesimpulannya, tak salah berkongsi gambar, tapi mesti ‘check’ dan tapis dulu gambar-gambar yang ingin dimuatnaik ya!

Kongsikan Artikel Ini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jom Baca Artikel Di Bawah