Ayah! Jangan Hanya Pandai Membuat Tapi Pastikan Pandai Juga Menjaga Bayi

ayah juga perlu pandai jaga anak
[rank_math_breadcrumb]

Tahukah anda bahawa penglibatan seorang ayah dalam mengasuh bayinya sendiri sejak dari awal akan menentukan kejayaan, kehidupan sosial dan nilai akademik anaknya di sekolah kelak.

Bukan itu sahaja, terdapat satu tinjauan yang mengemukakan bahawa bayi-bayi yang lebih rapat dengan ayahnya kemungkinan akan memiliki emosi yang lebih stabil, percaya diri dalam menghadapi pelbagai situasi, malahan lebih bersemangat untuk menerokai ruang persekitarannya.

Oleh itu, sudah tiba masanya para ayah menyemak semula pandangan yang mengatakan bahawa tugas menguruskan bayi hanya bergantung pada tanggungjawab ibunya sahaja. Sepatutnya ayah juga memainkan peranan yang sama dalam kehidupan si kecil anda, malah lebih lagi dari itu.

Di sini kami senaraikan beberapa perkara yang boleh diterapkan untuk mewujudkan hubungan yang erat antara ayah dengan bayinya.

 

1. Wujudkan Ikatan Erat Sejak Awal

Mewujudkan hubungan yang erat dengan baik perlu dilakukan sebaik sahaja si kecil itu lahir ke dunia melalui cara sentuhan. Ada kajian yang menunjukkan bahawa seorang ayah yang berada di sisi saat kelahiran zuriatnya dan menyentuhnya walau cuma sesaat dapat membina ikatan yang hampir sama sepertimana ikatan antara bayi dan ibunya dalam minggu-minggu pertama kelahiran.

ayah menjalin ikatan dengan bayi
Foto Kredit: Pixabay

Semakin cepat ayah membina ikatan erat dengan bayinya, maka kesannya akan nampak lebih baik pada masa hadapan mereka. Keakraban yang terjalin akan membuatkan bayi itu rasa lebih selesa dan selamat apabila berada bersama ayahnya.

Buat si ayah, pereratkan lagi hubungan dengan mempelbagaikan aktiviti atau permainan fizikal seperti menggendong atau mengangkat bayi ketika si kecil itu memerlukan perhatian.

 

2. Ambil Alih Tugas Isteri

Jadual harian yang sibuk dan bekerja di siang hari bukanlah alasan untuk mengabaikan perhatian si kecil anda. Anda masih punya waktu di malam hari. Jadi, malam hari adalah waktu yang tepat untuk membina ikatan yang akrab antara ayah dan bayi.

Ambil alih tugas menjaga bayi, sekurang-kurangnya membuatkan susu ketika bayi menangis. Cara ini juga dapat memberi isteri ruang untuk merehatkan dirinya.

 

3. Pandai Menukar Lampin Anak

Biasa sangat kita anggap kerja menukar lampin sudah lama hanya dilakukan oleh kaum ibu, padahal tidak salah jika ayah turut membantu. Hal ini juga akan membantu keakraban antara ayah dan bayi.

Ketika menukar lampin, ayah boleh melakukan komunikasi verbal dengan bayinya seperti berbual-bual dengan suara-suara tertentu dan membuat mimik muka lucu. Mood si ayah bukan sahaja lebih ceria malahan si kecil juga mampu tersenyum dan tertawa riang.

Hakikatnya, tindakan berbual-bual atau mengagah bayi bukan sahaja dapat membantu mengukuhkan ikatan antara ayah dan anaknya, tetapi juga dapat melarikan fokus ayah dari menghidu bau yang tidak enak dari lampin bayi.

 

4. Pandai Memujuk Tangisan Anak

Kebanyakan ayah yang mengasuh bayinya mungkin akan berasa cepat kecewa atau putus asa apabila mendapati bayinya menangis berterusan. Biasanya mereka terus menyerahkan bayi kepada si ibu untuk memujuk atau memberhentikan tangisan itu.

ayah memujuk anak menangis
Foto Kredit: Freepik.com

Sebenarnya ada beberapa cara yang boleh si ayah lakukan untuk menghentikan tangisan bayi itu.

Caranya, cubalah bernyanyi, membawa bayi berjalan-jalan atau mendodoikan bayi itu. Hal ini akan membuatkan si ayah lebih belajar dan faham apa yang bayi mahukan jika menangis adalah disebabkan oleh beberapa perkara selain menangis kerana lapar.

 

5. Ambil Cuti Ketika Anak Sakit

Menjadi ayah yang prihatin bukan sahaja bersedia ketika isteri hendak melahirkan, tetapi juga ketika bayi sakit. Sebagai seorang ayah yang bertanggungjawab, anda sepatutnya yang menghantar anak yang sakit ke klinik atau hospital untuk pemeriksaan doktor.

Hal ini akan membuatkan anda lebih jelas tentang penerangan doktor mengenai perkembangan dan pertumbuhan si kecil, sekaligus akan membuatkan ikatan antara si ayah dengan anaknya lebih utuh.

Walaupun penglibatan ayah dalam mengasuh, mendidik dan menjaga bayinya nampak seperti perkara yang remeh, tetapi ia sangat memberi kesan yang mendalam terhadap perkembangan anak itu pada masa hadapannya.

bayi dan ayah
Foto Kredit: Piclues

Kajian menunjukkan bahawa anak-anak remaja yang mempunyai hubungan yang baik dengan ibu bapa mereka kurang kenakalannya berbanding dengan remaja yang hanya mempunyai hubungan baik dengan ibu mereka.

Ini membuktikan bahawa kehadiran ayah dan ikatan erat yang terjalin sangat mempengaruhi kehidupan bayi apabila mereka besar nanti.

 

 

Sumber : AlDokter

Kongsikan Artikel Ini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jom Baca Artikel Di Bawah