Bagaimana Rasa Sakit Bersalin Yang Sebenarnya?

rasa sakit bersalin
[rank_math_breadcrumb]

Bagi ibu-ibu yang bakal melahirkan bayi buat pertama kali, tentu ada yang tertanya-tanya bagaimana agaknya rasa sakit bersalin ini. Berdebar dan risau memikirkan hari kelahiran kerana bersalin disifatkan sebagai salah satu pengalaman yang amat menyakitkan.

Sebenarnya, setiap ibu mempunyai pengalaman berbeza serta pendapat masing-masing tentang kesakitan yang dialami semasa bersalin. Namun, secara umumnya, ia boleh dikategorikan kepada beberapa kumpulan seperti di bawah.

1. Awal Kontraksi

Secara umumnya, awal kontraksi boleh dirasakan pada bahagian tengah hingga bawah abdomen. Ketika ini, mungkin sudah terdapat beberapa tanda bersalin seperti keluarnya lendir atau mucus plug, sedikit pendarahan, cirit-birit, atau pecahnya air ketuban.

Ketika ini, bahagian belakang juga akan terasa sedikit sakit dan anda mungkin berasa cramp perut seperti senggugut. Selalunya, kesakitan ini dirasakan secara rawak sebelum ia berlaku pada selang masa yang tetap.

2. Rasa Sakit Ketika Hampir Bersalin (Normal)

Ketika saat bersalin hampir tiba (selalunya ketika ini anda sudah berada di wad atau bilik bersalin), rasa kontraksi akan menjadi lebih kuat dan lebih kerap. Perut akan berasa kejang dan bahagian belakang juga berasa sakit. Ia terasa seperti senggugut yang kritikal dan berlangsung dalam jangka masa yang agak lama. Kontraksi ini akan dipantau oleh doktor dan mereka juga akan mengenalpasti bukaan laluan rahim dari semasa ke semasa.

Ramai wanita yang mengatakan bahawa rasa sakit ini biasanya masih boleh ditahan, tapi sebaik saja air ketuban mereka pecah, rasa sakit bersalin dan kontraksi akan meningkat secara mendadak.

3. Rasa Sakit Bersalin Induce

Sesetengah wanita mengalami tanda dan rasa sakit bersalin, tetapi bukaan rahim masih tidak ada kemajuan. Jika kes sebegini berlaku, doktor terpaksa melakukan induce jika kehamilan dikenalpasti sebagai berisiko. Antara masalahnya adalah jangkitan rahim, bayi lemas, masalah kesihatan bayi, atau masalah kesihatan ibu seperti diabetes atau darah tinggi.

Setelah dilakukan prosedur untuk induce, ada wanita yang cepat melahirkan iaitu sekitar 5-6 jam. Tetapi, ada juga yang lambat sehingga makan masa 1-2 hari. Rasa sakit bersalin akibat induce juga dianggap lebih menyakitkan kerana ia memakan masa yang lebih lama berbanding bersalin normal. Malah, kesan ubatnya boleh memberi reaksi yang berbeza-beza kepada ibu hamil.

4. Rasa Sakit Bersalin Pembedahan

Sekiranya anda telah dirancangkan oleh doktor untuk menjalani pembedahan untuk melahirkan bayi, proses ini biasanya akan berjalan dengan lebih lancar sekiranya tidak berlaku sebarang komplikasi. Tubuh akan dibius dan anda akan berasa kebas sepanjang proses pembedahan berlangsung. Namun, selepas bayi selamat dilahirkan, anda tetap akan berasa sakit akibat luka pembedahan. Perlu diingat, proses pembedahan Caesarean atau C-section ini adalah tergolong dalam pembedahan major. Maka, mustahil ianya tidak menyakitkan.

Malah, ada sebilangan wanita yang terpaksa menjalankan pembedahan hanya setelah kudrat mereka dikerah sehabisnya selepas tidak berjaya bersalin secara normal atau induce.

rasa sakit bersalin
Foto Kredit: elperiodiquito.com

Persediaan Awal Membantu Memudahkan Proses Bersalin

Usah risau, sebenarnya rasa sakit bersalin adalah sesuatu yang boleh ditangani oleh seorang wanita jika mereka tahu caranya. Jangan takut untuk bertanya atau mendapatkan maklumat yang tepat. Lebih banyak yang anda baca, lebih banyak persiapan yang boleh anda lakukan untuk memudahkan proses bersalin dengan selamat.

Di samping itu, kini juga terdapat beberapa solusi moden dan selamat seperti epidural yang membantu wanita untuk mengurangkan rasa sakit ketika bersalin. Bertanyalah pada doktor dan bincangkan cara yang boleh dilakukan kerana setiap hospital mempunyai kepakaran dan kaedah tertentu yang biasa digunakan. Selain itu, sokongan suami juga memainkan peranan yang amat penting untuk memberi semangat di sisi isteri masing-masing.

Walau apa pun, percayalah bahawa semua kesakitan ini pasti akan dilupakan sebaik sahaja anda memandang wajah bayi yang dilahirkan!

Kongsikan Artikel Ini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jom Baca Artikel Di Bawah