11 Makanan Tambah Darah Super Pantas Untuk Ibu Hamil

[rank_math_breadcrumb]

“Ish doktor cakap aku punya bacaan Hb rendah sangat. Kenapa boleh jadi macam ni? Patutlah rasa tak larat semacam. Apa makanan tambah darah yang betul-betul berkesan ya?” 

Semasa mengandung, setiap wanita memang diuji dengan pelbagai kepayahan dan masalah kesihatan yang mungkin tidak pernah dialami sebelumnya. Antara kes yang selalu melanda ibu hamil adalah masalah kekurangan darah / hemoglobin (Hb) rendah atau anemia. Antara simptomnya termasuklah pening kepala, susah fokus, kelesuan, kelihatan pucat, rasa sesak nafas, dan sering berasa sejuk atau kebas pada tangan.

Bahaya Anemia Semasa Mengandung

Menurut sebuah laman web kesihatan, anemia ketika mengandung adalah merbahaya jika tidak ditangani dan dikawal sebaiknya. Ini kerana, apabila anda mengalami ‘low Hb’ atau anemia, kandungan darah anda tidak mengandungi sel darah merah yang cukup untuk membawa oksigen bagi keperluan tisu badan anda serta pembentukan bayi.

Malahan, ia boleh menyebabkan komplikasi yang lebih serius seperti kelahiran bayi pramatang, bayi yang kurang berat badan dan lewat perkembangan, serta kemurungan selepas bersalin (meroyan).

Oleh itu, cubalah mengelakkannya dan mengatasinya dengan mengamalkan makanan tambah darah seperti di bawah ini.

Foto Kredit: Foto Kredit: BizJournals.com

11 Jenis Makanan Tambah Darah Untuk Ibu Mengandung

Secara umumnya, kita akan diberitahu untuk makan secara sihat dengan memperbanyakkan memakan buah-buahan dan sayuran. Tapi, apakah sayuran dan buah-buahan yang terbaik untuk diamalkan? Apakah lagi makanan tambah darah yang boleh dihidangkan dalam sajian seharian kita?

1. Tembikai

Tembikai adalah salah satu ‘super food’ dan makanan tambah darah yang kurang diketahui ramai. Istimewanya, buah ini kaya dengan vitamin A.

Selain terkenal dengan memperbaiki kesihatan mata, vitamin A juga sangat berkesan meningkatkan jumlah sel darah merah. Ia dapat membantu zat besi dalam hemoglobin untuk mengikat oksigen. 

 

2. Buah-buahan Kering

Buah-buahan kering amat sesuai sebagai snek kudapan dan makanan tambah darah ibu hamil. Tinggalkan ‘junk food’ dan beralihlah kepada kismis, kurma, prun, aprikot, dan buah tin.

Semua buah-buahan kering ini bukan sahaja sedap dan sihat, malahan ia turut memiliki kandungan zat besi yang amat baik untuk meningkatkan Hb dalam darah.

Foto Kredit: zoovet24.ru

3. Ikan

Ikan mengandung asid lemak Omega-3. Ikan Salmon, contohnya, boleh meningkatkan bacaan Hb anda ketika mengandung kerana ia turut mengandungi Vitamin B-12 untuk pembentukan sel-sel darah. Ikan juga sangat sesuai untuk diet anda kerana ia adalah makanan yang rendah nilai kolesterol.

Bagi anda yang menggemari telur ikan pula, ini berita baik untuk anda! Telur ikan juga mengandung nutrisi berkhasiat sepert protein, karbohidrat, dan zat besi yang boleh membantu dalam menaikkan bilangan hemoglobin.

Pelbagaikanlah menu ‘seafood’ ini dalam hidangan seharian anda kerana tiram, kerang, dan hasil makanan laut lain juga tidak kurang hebat nutrisinya dalam membantu meningkatkan Hb darah.

4. Jambu Batu

Anda sangat disarankan untuk memperbanyakkan pengambilan buah-buahan kerana ia mengandungi Vitamin C.

Vitamin C ini akan membantu penyerapan zat besi ke dalam tubuh. Menurut kajian, buah jambu batu memiliki kandungan Vitamin C sebanyak 2 kali lebih banyak dari Vitamin C yang ada di buah oren!

Foto Kredit: istockphoto.com

 

5. Daging Merah

Berbanding dengan daging putih dalam ayam atau burung, daging merah pada haiwan seperti kambing, kerbau, dan lembu lebih kaya dengan protein dan banyak mengandung zat besi serta mineral lain termasuk vitamin A, D, K, B2, B3, B6 dan B12, asid amino, Omega-3, dan selenium yang diperlukan oleh ibu hamil. Kesemua mineral ini mampu meningkatan hemoglobin dengan cepat.

Walaubagaimanapun, perlu diingat bahawa daging merah juga mempunyai lebih kandungan lemaknya berbanding daging putih. Oleh itu, elakkan pengambilan daging berlemak dan jangan ambil secara berlebihan karena ia boleh meningkatkan risiko pada jantung.

 

6. Sayuran Berdaun Hijau

Sayuran yang mengandung zat besi yang tinggi adalah sayuran berdaun hijau terutamanya bayam. Selain itu, brokoli, kangkung, kale, dan sawi juga amat membantu ibu hamil untuk mengelakkan anemia.

Selain itu, sayuran berdaun hijau juga mempunyai kandungan asid folik semulajadi yang turut membantu meningkatkan kesihatan ibu hamil.

7. Kuning Telur

Telur mengandung protein, kalsium, dan vitamin serta zat besi. Untuk kesan yang lebih baik, belilah gred telur elok dan diperkaya dengan Omega-3.

Kuning telur sangat berkesan sebagai makanan tambah darah. Cuba amalkan pengambilan telur secara teratur 2 kali sehari.

8. Kentang

Selain sayuran berdaun, kentang juga mengandung zat besi dan juga vitamin C yang membantu untuk meningkatkan penyerapan zat besi dalam tubuh.

Vitamin C juga dapat mengikat radikal bebas dan memperkuat sistem kekebalan dalam tubuh. Untuk pengetahuan anda, kentang adalah salah satu sumber terbaik zat besi untuk vegetarian.

Foto Kredit: gigispan.vn

 

9. Hati

Mungkin tidak semua orang berselera memakan organ dalaman. Namun, hati adalah salah satu makanan paling tinggi zat besi.

Menurut sumber, umumnya hati ayam (100gms) mengandung 9 mg zat besi. Hati lembu mengandungi lebih kalori dibandingkan dengan jenis hati lain, namun banyak mengandungi kadar zat besi yang tinggi.

 

10. Roti Dan Bijirin Berserat Tinggi

Roti dan bijirin berserat tinggi seperti beras merah memiliki kandungan karbohidrat, serat semulajadi, dan zat besi untuk meningkatkan sel-sel darah.

Selain itu, menu diet seperti roti jagung, pasta, bijirin penuh serat (whole grain), ini berkesan dihidangkan kepada ibu hamil untuk menangani anemia.

 

11. Kekacang Dan Bijian

Sumber kekacang boleh didapati daripada sayuran seperti kacang panjang, kacang buncis, dan kacang botol. Selain itu, anda boleh memakan kekacang sebagai snek atau kudapan. Antaranya kacang almond, pistachio, walnut, atau kacang badam yang dapat dicerna secara perlahan oleh sistem pencernaan, sehingga dapat mebantu menaikkan tekanan darah. Namun, pastikan anda tidak mengalami sebarang alahan terhadap kekacang ini.

Biji-bijian seperti kuaci, biji bunga matahari, atau biji labu juga amat bermanfaat. Menurut rujukan, 100 gram biji labu mengandung 15 mg zat besi, iaitu 83% dari nilai anjuran harian. Biji labu juga merupakan sumber utama asid lemak Omega 3 yang turut berfungsi membantu menurunkan kolesterol.

Foto Kredit: timisoreni.ro

 

Minuman Dan Jus Untuk Penambah Darah

Antara punca berlakunya kekurangan darah ialah kekurangan 4 nutrisi penting penghasilan darah dalam badan kita. 4 nutrisi tersebut ialah Asid Folik, Vitamin B12, Vitamin C dan Zat Besi.

Justeru, antara cara mudah yang boleh dilakukan ialah mengamalkan jus yang kaya dengan keempat-empat elemen nutrisi tersebut. Berikut ialah cadangan jus beserta resepi bagi menambah kuantiti darah dalam badan anda, terutamanya ibu mengandung.

 

1. Jus Ubi Bit

Ubi bit antara tumbuhan yang kaya dengan zat besi, dan lobak dan lemon pula membantu penyerapan zat besi dengan lebih mudah. 

Bahan-bahan resepi ini:

  • 4 saiz sederhana ubi bit merah
  • 4 biji lobak merah
  • 1/2 biji lemon
  • 2 sudu masak yis

Cara membuat :

Basuh dan potong ubi bit merah, lobak dan lemon. Jadikan jus dengan menggunakan juicer ataupun blender. Setelah dijadikan jus, masukkan yis, dan kacau dengan sudu. Minum jus ini setiap kali sarapan untuk efek yang lebih baik.

2. Jus Bayam, Ubi Bit dan Beri

Jus ini mengandungi jumlah zat besi yang tinggi dan bagi membantu penyerapan zat besi, vitamin C dimasukkan sekali dalam ramuan jus ini.

Bahan-bahan resepi ini:

  • 1 cawan buah beri merah
  • 3 biji radish kecil (sejenis lobak)
  • 2 genggam bayam
  • 1 biji ubi bit
  • 1/2 biji perahan lemon

Cara membuat :

Lebih kurang sama seperti jus ubi bit. Anda hanya perlu campur dan gabungkan keempat-empat bahan dan perah menjadi jus samaada menggunakan blender atau juicer. Minum setiap hari.

3. Jus Daun Ketumbar

Selalunya daun ketumbar dimasukkan didalam masakan untuk memberikan aroma yang wangi pada makanan. Untuk info, daun ini juga sangat kaya dengan zat besi dan sesuai dijadikan bahan utama bagi menaikkan darah anda.

Bahan-bahan resepi ini:

  • 1 ikat daun ketumbar
  • 1 biji timun
  • 1 biji epal hijau atau buah oren
  • 1/2 biji perahan lemon

Cara membuat :

Basuh dan masukkan bahan-bahan diatas di juicer atau pengisar. Jangan lupa masukkan air bagi memudahkan ia dikirsar. Minum setiap hari untuk dapatkan kesan dan peningkatan kuantiti darah anda.

Dapatkan Nasihat Doktor

Selain daripada pengambilan makanan dan minuman di atas, pastikan anda mengamalkan corak pemakanan yang sihat. Pastikan anda meminum air kosong secukupnya untuk memastikan kandungan elektrolit dalam tubuh anda tidak terjejas. Hindari kafein dan makanan rapu yang berlebihan.

Jika bacaan Hb anda terlalu rendah, jangan teragak-agak untuk mengambil suplemen yang dibekalkan oleh doktor mengikut rutin yang telah ditetapkan.

 

Kongsikan Artikel Ini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jom Baca Artikel Di Bawah