9 Tips Ajar Anak Solat Sejak Kecil, Tak Perlu Disuruh Lagi!

[rank_math_breadcrumb]

Sabda Rasulullah, “Perintahkanlah anak kamu sembahyang semasa umur mereka 7 tahun dan pukullah mereka semasa umur 10 tahun serta asingkanlah tempat tidur mereka”. (H.R Abu Daud, Al-Hakim & Tirmizi)

Secara umumnya, kewajipan solat dan kesemua perkara fardhu bermula sejak seseorang itu baligh. Sesuai dengan tuntutan Nabi Muhammad SAW melalui hadis di atas, anak-anak telah sepatutnya diperintahkan solat seawal usia 7 tahun lagi.

Seseungguhnya, tanggungjawab ibu bapa untuk ajar anak solat adalah sesuatu yang tidak harus dipandang ringan. Maka, lebih elok jika ibu bapa membuat persediaan agar anak-anak ini lembut hati, lebih mudah dipujuk dan senang diajak untuk bersolat seawal usia.

9 Tips Ajar Anak Solat Sejak Kecil, Tak Perlu Disuruh Lagi!

Berikut adalah beberapa tips dan cara ajar anak solat di rumah yang boleh dipraktikkan oleh ibu dan bapa sejak mereka kecil.

1. Ibu Bapa Sebagai Tauladan

Perkara pertama yang paling penting adalah suasana anak-anak kita membesar. Pendedahan tentang solat itu akan datang sendirinya apabila mereka selalu melihat ibu bapa solat. Masuk saja waktu atau terdengar azan, ibu bapa segera bangun dan meninggalkan apa saja yang sedang dilakukan untuk bersolat.

Nampak mudah, tetapi berat tanggungjawabnya apabila kita sentiasa diperhatikan oleh anak-anak. Namun, secara tidak langsung, ia membantu kita juga agar lebih berdisiplin dalam solat, bukan?

2. Solat Bersebelahan Anak Kecil

Jangan jadikan anak kecil sebagai alasan untuk kita menangguhkan solat. Sebenarnya, lebih elok jika kita bersolat bersebelahan bayi sebaik saja masuk waktu solat. Seeloknya, tukar lampin mereka dahulu supaya bayi boleh mundar-mandir di atas sejadah tanpa kita berasa was-was. Jika bayi anda jenis yang suka menggapai kita masih boleh solat sambil mendukung bayi.

Walaupun anak masih kecil, jangan ingat mereka tidak faham dan tidak tahu. Sejak bayi lagi mereka boleh melihat tabiat ini dan memproses maklumat hingga ia terlekat dalam memori mereka.

3. Jangan Marah Bila Anak Ganggu Solat

Apabila anak mendekati kita sewaktu solat, ia adalah salah satu petanda baik. Mungkin mereka berasa ‘curious’ dan ingin tahu apakah yang kita sedang lakukan sebenarnya. Jangan memarahi mereka. Sebaliknya, galakkan mereka untuk mendampingi kita.

Secara tidak langsung, mereka akan mudah berasa ‘familiar’ terhadap solat dan tidak berasa kekok untuk meniru pergerakan kita kelak.

4. Solat Berjemaah

Solat berjemaah bukan saja banyak fadilatnya, tetapi ia juga menimbulkan rasa seronok untuk anak-anak bersolat sama.

Apabila anak sudah meningkat usia, mungkin ada kalanya mereka akan berasa ‘liat’ untuk solat apabila disuruh. Tetapi, apabila ia dilakukan bersama, Insha Allah ianya akan terasa lebih mudah.

5. Lazimi Ayat Quran

Sebagai ibu bapa, kita mungkin tidak dapat sentiasa berada dengan anak ketika solat kerana jadual yang padat dan sibuk. Jadi, bila ada masa, lazimilah ayat-ayat Al-Quran semasa di dalam kereta, sebelum tidur, atau di mana-mana saja.

Contohnya, saya selalu mengulang bacaan al-Fatihah, Ayat Kursi, dan 3 Qul (An-Nas, al-Falaq, dan Al-Ikhlas) kepada anak sebelum masuk tidur. Rutin ini sedikit sebanyak membantunya menghafal al-Fatihah, iaitu bacaan wajib dalam solat seawal usia 4-5 tahun walaupun dia belum pandai mengaji. Jadi, lebih seronok dia nak ‘join’ solat bersama sebab dah tahu serba sedikit bacaannya.

6. Belikan Kelengkapan Solat Mereka

Anak-anak kecil biasanya akan menjadi lebih bersemangat jika diberi galakan sebegini. Contohnya, kita boleh membelikan sejadah comel, telekung dengan warna kesukaan mereka, atau kopiah berkait yang tertulis masing-masing.

Jika dapat, adakan ruang khusus untuk solat dalam rumah supaya aktiviti solat, mengaji, atau tazkirah dapat diadakan dengan suasana yang tenang dan damai.

7. Beri ‘Tugas’

Bagi anak-anak lelaki, boleh minta mereka iqamah atau menjadi imam. Kepercayaan yang kita beri kepada mereka sedikit sebanyak akan menyuntik rasa tanggungjawab dalam diri mereka.

Mereka juga akan berasa ‘penting’ dalam mata ibu bapa dan ia memberi dorongan kepada anak-anak untuk menunaikan solat sebaik mungkin.

8. Biasakan Anak Ke Masjid

Biasakan membawa anak ke masjid tanpa menunggu bulan Ramadhan. Apabila ada kelapangan, bawalah satu keluarga pergi masjid untuk solat berjemaah.

Pada mulanya, ibu bapa akan berasa susah sedikit untuk mengawal dan memantau anak. Namun, tanpa disedari, ‘attachment’ terhadap masjid dapat diwujudkan dalam diri anak seawal usia. Malah, mereka mungkin ada rakan yang ditemui di sana. Apabila dapat jumpa kawan, tentu mereka berasa lebih seronok untuk solat bersama.

9. Sentiasa Mendoakan Anak

Akhir sekali, sebagai ibu bapa, jangan lupa mendoakan anak-anak kita agar rajin mendirikan solat.

Antara doa yang amat mustajab adalah doa ini:

رَبِّ ٱجعَلنِى مُقِيمَ ٱلصَّلَوةِ وَمِن ذُرِّيَّتِى رَبَّنَا وَتَقَبَّل دُعَآءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku”. (Surah Ibrahim, Ayat 40)

ajar anak solat

Didik Dengan Santai, Tapi Berhikmah

Dalam menerapkan disiplin terhadap solat, asasnya perlulah kukuh. Namun begitu, ia harus dibina dengan kasih sayang dan sama sekali tidak melibatkan kekerasan, ugutan, dan paksaan.

Oleh itu, cuba praktikkan tips-tips ajar anak solat sesuai dengan minat dan sikap mereka yang tersendiri. Sememangnya ia memerlukan kesabaran yang tinggi, tetapi yakinlah bahawa setiap usaha kita akan dinilai oleh Allah walau apa pun hasilnya. Mudah-mudahan anak akan lembut hati, lebih bersemangat, dan tekun mendirikan solat!

Kongsikan Artikel Ini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jom Baca Artikel Di Bawah