6 Perkara Penting Ibu Kena Tahu Bila Ambil Ubat Semasa Menyusu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

“Takut pula nak makan ubat masa menyusu badan ni. Orang kata, ada kesan sampingan pada bayi. Takpun, boleh jejaskan penghasilan susu. Betulkah begitu?”

Semasa menyusu badan, ramai ibu yang amat menjaga pemakan dan diet harian untuk memastikan kualiti susu yang dihasilkan kepada bayi berada dalam tahap terbaik. Begitulah juga halnya ketika memilih ubat ibu menyusu.

Kenapa Ibu Menyusu Perlu Berhati-hati Makan Ubat?

Menurut artikel Khairul Naim Bin Zainal Abidin yang dikongsi menerusi laman Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia, ubat yang diambil akan diserap masuk ke dalam sistem peredaran darah. Kemudian ia akan melekat kepada protein (albumin) atau bebas terlarut dalam plasma darah. Ini bermakna, ubat-ubatan tersebut boleh menjejaskan susu ibu.

Kadar resapan ubat ke dalam susu ibu bergantung sama ada ubat yang diambil oleh ibu tersebut memiliki kadar pelekatan terhadap protein plasma yang tinggi atau rendah. Sesuatu ubat akan dianggap melekat kepada protein dalam peratusan yang tinggi, sekiranya peratusan ubat yang melekat kepada protein plasma melebihi 90%.

6 Perkara Penting Ibu Kena Tahu Bila Ambil Ubat Semasa Menyusu 1
Foto Kredit: shutterstock.com

6 Fakta Tentang Ubat Yang Boleh Dimakan Oleh Ibu Menyusu

Jenis ubat ibu menyusu perlu dipilih dengan teliti. Berikut adalah 6 perkara yang perlu anda ketahui.

1. Ubat Tahan Sakit & Demam

Secara umumnya, jika diambil mengikut dos normal, ubat tahan sakit dan ubat demam seperti Paracetamol, asid Acetylsalicylic, dan Ibuprofen adalah selamat untuk dimakan. Walaubagaimanapun penggunaan ubat ini dinasihatkan hanya untuk jangka masa yang singkat sahaja.

Menurut sumber, aspirin dos tinggi adalah tidak digalakkan kerana mempunyai risiko untuk bayi mendapat Reye’s syndrome. Sekiranya dos rendah aspirin diambil untuk tujuan antiplatelet (75-150mg), elakkan menyusu anak (direct latch) 1-2 jam selepas mengambil aspirin.

6 Perkara Penting Ibu Kena Tahu Bila Ambil Ubat Semasa Menyusu 2
Foto Kredit: huffingtonpost.com

2. Pil Perancang

Jika anda berhasrat untuk memakan pil perancang, berbincanglahdengan doktor dan nyatakan keadaan anda yang sedang menyusu badan. Ini kerana, ada beberapa jenis yang tidak sesuai diambil oleh ibu menyusu.

Sesetengah jenis pil perancang yang mengandungi estrogen contohnya boleh merencat atau mengurangkan penghasilan susu ibu. Sebagai alternatif, carilah pil perancang yang menggunakan hormon progesteron saja kerana ia tidak akan menjejaskan penghasilan susu ibu. Terdapat juga kaedah lain untuk merancang kehamilan seperti IUCD atau suntikan depo.

ubat ibu menyusu
Foto Kredit: medscape.com

3. Ubat Yang Boleh Memudaratkan Bayi

Bagi ibu yang menyusukan bayi dan perlu menggunakan ubat seperti Sulfonamides, Dapsone, Sulfamethoxazole+Trimethoprim atau Sulfadoxine+Pyrimethamine (Fansidar) pula, pemantauan terhadap bayi perlu dilakukan kerana kemungkinan ubat tersebut boleh menyebabkan demam kuning (jaundis) kepada bayi.

Terdapat beberapa jenis ubat-ubatan jika diambil aktiviti penyusuan boleh diteruskan namun sedikit pemantauan perlu dilakukan. Contohnya kesan sampingan ubat mungkin berlaku kepada bayi apabila si ibu mengambil sesetengah jenis ubat psikiatrik atau ubat anti-epilepsi. Kesan sampingan ini mungkin akan menyebabkan bayi tersebut letih atau mengantuk.

6 Perkara Penting Ibu Kena Tahu Bila Ambil Ubat Semasa Menyusu 3
Foto Kredit: gspkdesign.ltd.uk

4. Ubat Yang Merencatkan Penghasilan Susu

Menurut sumber DoktorBudak.com, sesetengah ubat batuk dan selsema yang mengandungi kombinasi antihistamin dengan pseudoephedrine adalah tidak digalakkan kerana boleh mengganggu bekalan susu. Selain itu, ubat diuretik Thiazide, dan Ergometrine juga boleh memberikan kesan sedemikian.

Penyusuan perlu dihentikan buat sementara waktu bagi ibu yang mengambil ubat untuk rawatan kanser atau kemoterapi (Antimetabolites) dan bahan radioaktif dalam ubat radiofarmaseutikal. Namun, penyusuan boleh disambung semula selepas satu tempoh masa yang selamat apabila ubat tersebut tidak lagi diambil.

6 Perkara Penting Ibu Kena Tahu Bila Ambil Ubat Semasa Menyusu 4
Foto Kredit: kellymom.com

5. Ubat Asma, Darah Tinggi, Dan Diabetes

Begitu juga untuk penggunaan ubat asma, Corticosteroids, ubat antihistamin, ubat anti-asid, ubat diabetes, kebanyakan ubat darah tinggi, Digoxin, nutrien dan makanan tambahan seperti iodin, zat besi dan vitamin boleh digunakan pada dos normal oleh ibu yang menyusukan bayi.

Walaubagaimanapun, dapatkan pengesahan terlebih dahulu melalui doktor atau ahli farmasi yang mempreskripsikan khusus ubat ibu menyusu untuk anda.

6 Perkara Penting Ibu Kena Tahu Bila Ambil Ubat Semasa Menyusu 5
Foto Kredit: rd.com

6. Ubat-ubatan Lain Yang Selamat

Penyusuan bayi juga boleh diteruskan bagi penggunaan pada dos normal ubat antibiotik seperti Ampicillin, Amoxicillin, Cloxacillin dan Penicillins jenis lain, Erythromycin, ubat untuk rawatan batuk kering, ubat kusta, ubat anti malaria (kecuali Mefloquine, Fansidar), ubat cacing dan ubat untuk rawatan jangkitan kulat.

Selain daripada itu penyusuan juga boleh diteruskan oleh ibu jika mengambil ubat seperti Chloramphenicol, Tetracyclines, Metronidazole atau antibiotik daripada kumpulan Quinolone seperti Ciprofloxacin. Walau bagaimanapun digalakkan menggunakan ubat alternatif jika ada.

ubat ibu menyusu
Foto Kredit: vanityfair.com

Rujuk Doktor Dan Ahli Farmasi Sebelum Mengambil Sebarang Ubat

Sekiranya orang awam mempunyai sebarang pertanyaan am berkenaan ubat-ubatan, anda boleh bertanya kepada mana-mana ahli farmasi atau menguhubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan di talian 1800-88-6722.

*Artikel ini dirujuk oleh artikel Khairul Naim Bin Zainal Abidin, yang diterbitkan melalui laman Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia

Kongsikan Artikel Ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

7 thoughts on “6 Perkara Penting Ibu Kena Tahu Bila Ambil Ubat Semasa Menyusu”

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top