7 Cara Mengatasi Letih & Mengantuk Ketika Hamil. Biar Cergas!

[rank_math_breadcrumb]

Menurut laman web Fit Pregnancy, wanita mudah berasa letih pada awal kehamilan disebabkan oleh perubahan hormon dan simptom muntah-muntah yang dialaminya. Keletihan ini biasanya berkurang pada trimester kedua dan akan kembali semula pada trimester ketiga.

Apabila perut semakin besar, lebih sukar mendapat tidur yang cukup kerana kurang selesa atau selalu terjaga untuk ke tandas. Perubahan tubuh badan ini menjadi punca yang menyebabkan seseorang wanita sentiasa letih dan mengantuk, terutamanya di siang hari.

Bagaimana cara mengatasi letih, rasa mengantuk, dan kembali cergas supaya dapat menjalankan tugas seharian?

7 Cara Mengatasi Letih & Mengantuk Ketika Hamil

Ini beberapa tips dan cara mengatasi letih yang anda boleh cuba praktikkan semasa mengandung.

1. Buat Senaman Ringan

Walaupun kita berasa letih, senaman ringan seperti 30 minit berjalan amat membantu untuk mengembalikan tenaga kita yang hilang. Ketika di pejabat, amalkan senaman regangan dan hirup udara segar melalui tingkap.

Terdapat banyak jenis senaman yang sesuai ketika mengandung untuk anda cuba. Ia juga dipercayai dapat membantu memudahkan proses bersalin!

2. Pilih Makanan Sihat

Ibu mengandung perlu prihatin tentang jumlah makanan yang diambil. Lebihkan tenaga dengan mengambil protein, karbohidrat yang tidak diproses dan lemak sihat. Protein adalah sumber tenaga baik untuk kita dan tumbesaran si bayi. Lebihkan pengambilan ayam, ikan dan tauhu.

Walaupun karbohidrat sering mendapat reputasi yang buruk, ia merupakan sumber tenaga yang penting dalam pemakanan seharian kita. Gantikan nasi dan pasta dengan karbohidrat sihat seperti bijirin penuh dan roti mil. Makanan bergoreng dan marjerin juga perlu digantikan dengan dengan minyak sihat semulajadi seperti avokado dan mentega kacang.

3. Rehat Yang Berkualiti

Kelesuan ketika mengandung juga dapat dicegah dengan mendapatkan rehat yang secukupnya. Pastikan anda tidur lebih awal dan dapatkan ‘power nap’ pada waktu tengahari jika sempat. Elakkan minum air sebelum tidur supaya anda tidak perlu ke tandas tengah malam.

Lupakan sementara segala kerisauan anda dan pergilah berurut. Dapatkan urutan khas untuk ibu mengandung. Anda juga boleh mandi di dalam rendaman air suam dengan beberapa titis minyak aromaterapi yang menenangkan sebelum masuk tidur.

4. Minum Banyak Air

Mengandung atau tidak, antara punca utama keletihan ialah kekurangan air dalam badan. Lebihkan pengambilan air kosong.

Boleh juga minum jus buah atau teh tanpa kafein untuk kelainan. Buah dan sayur seperti tomato dan timun juga dapat menambah kandungan air dalam badan.

5. Jangan Makan Untuk 2 Orang!

Mengandung bukanlah alasan untuk anda makan dua kali ganda. Kononnya untuk dua orang.

Sebaliknya, alternatif yang terbaik untuk anda dan si bayi ialah makan kuantiti yang sedikit tetapi kerap. Cara ini dapat membendung keletihan badan dan mengembalikan tenaga. Lebihkan makan kudapan sihat seperti yogurt dan kekacang. Elakkan makanan ringan dan snek berkalori tinggi.

6. Hirup Udara Segar

Rimas betul rasanya kena duduk rumah saja sejak mengandung. menurut pakar, udar segar di luar dapat membantu untuk mengurangkan keletihan. Bila kita terperap di rumah, kita asyik menghirup udara yang sama dan membuat kita lebih terdedah pada bakteria.

Jadi, keluarlah dan hirup udara segar. Pasti anda berasa lebih tenang dan bertenaga.

7. Semak Semula Jadual Harian

Badan anda tidak akan sekuat sebelum mengandung. apabila sudah hamil, badan kita sudah sedikit terbatas untuk melakukan tugasan harian. Jangan letakkan semua beban di bahu anda. Bincanglah dengan majikan untuk mengurangkan waktu bekerja anda atau mengambil cuti bersalin 1-2 minggu lebih awal untuk berehat sekiranya perlu.

Dapatkan bantuan untuk tugasan-tugasan di rumah dan untuk urusan anak-anak buat sementara waktu. Utamakan kesihatan anda dan bayi. Nanti sudah sakit susah pula jadinya.

cara mengatasi letih
Foto Kredit: healthland.time.com

Jangan Takut Dianggap ‘Manja’

Walaupun kita tidak nampak, sebenarnya ada banyak perkara yang sedang berlaku di dalam perut anda! Amat penting bagi ibu mengandung untuk tahu apa yang badan anda perlu. Jangan terlalu memikirkan tanggapan orang sekeliling kerana setiap kehamilan ada unik dan berbeza.

Ketika mengandung inilah anda akan berasa lebih kerap sakit belakang dan kaki. Jika pekerjaan anda perlukan banyak bergerak, duduklah bila ada kesempatan. Dapatkan bantuan untuk kerja-kerja di pejabat. Dapatkan tidur dan rehat bila berkesempatan.

Jadi, jangan terus-menerus bekerja tanpa menghiraukan keletihan kerana ia juga boleh menjadi petanda penyakit lain seperti anemia atau kurang gula dalam darah.

Kongsikan Artikel Ini

One Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jom Baca Artikel Di Bawah