Sakit Pinggang & Kehamilan Sukar Dipisahkan. Ini Tips Melegakannya

sakit pinggang semasa hamil
[rank_math_breadcrumb]

Salah satu keluhan yang sukar dielak adalah sakit pinggang semasa hamil. Ia bukan saja boleh mengganggu aktiviti harian, tetapi juga boleh mengganggu keselesaan ketika tidur di waktu malam.

Sungguhpun ia sinonim dengan kehamilan, namun ada cara yang boleh anda lakukan untuk mengurangkan rasa sakitnya. Sebelum mengetahui caranya, elok kita mengetahui terlebih dahulu punca-puncanya agar tindakan mencegahnya dapat dibuat secara lebih tepat.

Punca Sakit Pinggang Semasa Hamil

Berdasarkan laporan, hampir 50% hingga 70% wanita hamil akan mengalami sakit pinggang. Ada yang merasakannya pada awal kehamilan, dan ada pula yang merasakannya fasa pertengahan atau akhir kehamilan.

Ada beberapa punca sakit pinggang semasa hamil yang perlu anda ketahui:

  • Berat badan bertambah – Bertambahnya berat badan sesuai usia kehamilan adalah antara punca sakit belakang paling utama. Apabila berat badan bertambah, beban akan bertambah pada otot-otot pinggang dan tulang belakang sehingga menyebabkan rasa nyeri pada bahagian tubuh tersebut.
  • Pusat graviti berubah – Seiring dengan pertambahan besar rahim dan perut, pusat graviti akan berubah ke hadapan. Keadaan ini boleh menyebabkan postur tubuh turut berubah di mana seseorang cenderung untuk tunduk dan membongkok tanpa disedari.
  • Peningkatan hormon – Sesetengah wanita mula berasa sakit belakang seawal kehamilan lagi, di mana berat badan mereka belum bertambah secara mendadak. Dalam kes ini, ada sumber lain menyifatkan peningkatan hormon sebagai punca sakit belakang semasa hamil. Hormon yang dilepaskan adalah untuk mempersiapkan tubuh untuk kehamilan, di mana mungkin berlakunya sendi yang melembut dan ligamen yang mengendur hingga mempengaruhi beban kerja tulang belakang.

8 Cara Melegakan Sakit Pinggang Semasa Hamil

Memang agak sukar untuk mengatasi sakit pinggang semasa hamil dengan serta-merta dan secara kekal. Namun, ada perkara yang boleh kita usahakan agar kesakitan yang dialami tidak semakin parah dan makin kurang kekerapannya.

Antaranya:

1. Senaman

Menurut BabyCenter, terdapat beberapa jenis senaman seperti senaman Kegel, senaman perut, dan latihan berenang yang dapat mengurangkan tekanan dan seterusnya memberi kelegaan kepada sakit pinggang.

Untuk mengetahui cara membuat senaman Kegel, anda boleh rujuk dalam artikel kami di sini : 5 Sebab Ibu Hamil Mesti Buat Senaman Kegel. Mudah Saja!

2. Pilih Kasut Yang Sesuai

Walaupun bergaya, elakkan memakai kasut bertumit tinggi atau kasut yang kurang selesa.

Ia boleh menyebabkan kurangnya sokongan terhadap pusat graviti hingga mengganggu postur tubuh yang baik.

3. Urutan

Urutan dapat melegakan otot-otot yang letih dan lenguh kerana ia mengembalikan peredaran darah di bahagian yang sakit. Minta pasangan anda untuk mengurut perlahan-lahan di bahagian pinggang, pinggul, belakang, atau mana-mana otot yang terasa sakit. Ia bukan saja melegakan, tetapi dapat juga mengeratkan hubungan.

Gunakan minyak aromaterapi untuk kesan yang lebih memuaskan.

4. Sentiasa Melakukan Regangan

Elakkan daripada duduk atau berdiri terlalu lama dalam satu-satu masa. Setiap 30 minit atau 1 jam, lakukan senaman regangan yang mudah untuk melancarkan peredaran darah.

Perhatikan postur anda dan jangan duduk membongkok. Cuba duduk di atas kusyen lembut dan tambahkan sokongan seperti bantal atau kain lembut jika perlu.

5. Gunakan Bantal Tambahan Untuk Membantu Tidur

Bukan mudah mendapatkan posisi tidur yang selesa sepanjang kehamilan, lebih-lebih lagi apabila saiz kandungan semakin membesar. Untuk mengatasi masalah ini, anda boleh menyusunkan bantal-bantal lembut mengikut keselesaan anda seperti pada kaki atau sisi.

Selain itu, anda juga boleh mendapatkan pregnancy pillow yang direka khas bagi mendapatkan posisi tidur yang optimum. Memang empuk dan sangat selesa!

6. Mandi Air Panas

Sungguhpun mandian air panas seperti sauna atau bath tub tidak digalakkan, pancuran air yang sederhana panas atau shower sangat membantu untuk memberi kelegaan.

Oleh itu, sekiranya sakit pinggang semasa hamil bertambah kerap dan sakit, cubalah melegakannya dengan cara ini.

7. Gunakan Tali Pinggang Sokongan

Jika perlu, anda boleh mendapatkan pelvic support belt atau tali pinggang sokongan khas untuk ibu mengandung. Ia didatangkan dalam pelbagai pilihan rekabentuk dan jenama.

Ia boleh dipakai untuk membantu anda mendapatkan postur yang lebih baik seiring dengan pertambahan saiz kandungan.

sakit pinggang semasa hamil
Foto Kredit: dhgate.com

8. Dapatkan Rehat Yang Cukup

Akhir sekali, cuba dapatkan rehat yang cukup dan elakkan stres yang melampau.

Amalkan juga pemakanan yang seimbang dan lebihkan pengambilan makanan daripada sumber kalsium dan magnesium seperti sayuran berdaun hijau.

Bilakah Perlu Berjumpa Doktor?

Sebilangan kecil wanita hamil boleh mengalami skiatika, iaitu masalah pada saraf skiatik yang kronik semasa hamil. Saraf ini mengunjur daripada bahagian bawah belakang hingga ke tapak kaki. Ia menyebabkan rasa ngilu sepanjang kaki anda, atau rasa mencucuk-cucuk.

Oleh itu, jika kesakitan terlalu kerap dan semua tips di atas masih tidak dapat membantu memberi kelegaan, anda bolehlah berjumpa dengan doktor agar penilaian selanjutnya dapat dibuat.

Kongsikan Artikel Ini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jom Baca Artikel Di Bawah