10 Tanda-Tanda Bersalin Sudah Dekat Dan Apa Yang Perlu Anda Lakukan

[rank_math_breadcrumb]

Sebagai ibu yang sedang hamil, bersalin benar-benar membuatkan kita menjadi risau. Pelbagai soalan menerjah benak fikiran kita seperti

  • Adakah ini kontraksi bersalin atau hanya sekadar perut memulas?
  • Bilakah waktu sebenar air ketuban akan pecah?
  • Dan yang paling menakutkan sekali ialah apabila kita terpaksa bersalin di tempat dan masa yang salah

Anda tak keseorangan dalam perkara ini. Malah ibu yang sudah hamil anak ke-4 juga akan berfikir hal yang sama kerana setiap kelahiran adalah berbeza dan unik keadaannya bagi setiap anak.

Oleh kerana itu, kami kongsikan dengan anda 10 tanda-tanda bersalin sudah dekat supaya dapat membantu anda bersedia dan berwaspada.

Bilakah Bermulanya Waktu Bersalin?

Setiap ibu tahu bilakah tarikh dijangka bersalin bayinya pada pertemuan pertama dengan doktor lagi. Waktu bersalin dikategorikan seperti

  • Bersalin pada minggu sebelum 37-38 – Kelahiran Pra-Matang
  • Bersalin pada minggu 39-40 – Bersalin Tempoh Penuh
  • Bersalin pada minggu 42 ke atas – Bersalin Lewat

Hanya sebilangan kecil wanita, 5% sahaja, yang berjaya bersalin pada tarikh tepat sepertimana yang dijangka dari awal.

Sekiranya anda belum bersalin walauppun sudah melepasi minggu ke 41 dan ke atas, doktor akan mencadangkan kaedah kelahiran dengan bantuan kaedah induksi (satu kaedah perubatan bagi memaksa bayi keluar bagi mengelakkan keadaan yang lebih buruk dari terjadi)

Tanda-Tanda Nak Bersalin Semakin Hampir

Bersalin adalah satu proses mengeluarkan bayi dari dalam rahim, bermula dari kontraksi di kawasan uterus sehingga keluarnya bayi. Ini tanda nak bersalin yang boleh anda awasi.

1. Rasa Kandungan Anda Jatuh Atau Menurun

Bayi akan mula mempersiapkan diri untuk bersalin dengan menukar posisi kepalanya ke kawasan pelvis. Anda akan rasa lebih ringan dan kurangnya tekanan di bahagian dada dan abdomen. Anda juga lebih mudah untuk bernafas dan makan sehingga kenyang.

Walaubagaimanapun, ia bukan tanda anda sudah terlalu dekat untuk bersalin. Ia akan mengambil masa beberapa minggu. Bagi ibu yang pertama kali mengandung, anda akan merasa keadaan ini lebih awal dari ibu yang sudah beberapa kali bersalin.

2. Kontraksi Semakin Kerap

Antara tanda bersalin yang utama ialah kontraksi. Semakin hampir anda bersalin, semakin lama dan kuat kontraksi akan berlaku. Bagi ibu pertama kali, sangat sukar untuk membezakan antara kontraksi sebenar atau kontraksi palsu (Braxton Hicks). Dibawah kami kongsikan perbezaannya.

Kontraksi Sebenar Tanda Nak BersalinKontraksi Braxton Hicks (Kontraksi Palsu)
Bermula dari minggu ke 37 kehamilan. Sekiranya lebih awal, anda dijangka bersalin pramatang.Bermula dari trimester kedua dan semakin kerap pada trimester ketiga.
Ia lebih konsisten dan ada corak kekerapannyaTak konsisten
Semakin hampir nak bersalin, semakin kuatSakitnya tak konsisten
Kontraksinya bermula dari bahagian bawah dan merebak ke kawasan groin.Seperti perut mengeras
Ia tak berhenti walaupun anda melakukan aktiviti bagi mengurangkan kontraksiBerhenti apabila anda membuat sebarang pergerakan atau aktiviti
Air ketuban anda bolehpecahAir ketuban anda tak pecah
Pendarahan mula berlakuPendarahan tidak berlaku
Perubahan pada servikalTiada perubahan pada servikal

3. Perubahan Serviks Semasa Bersalin
Sumber : Consumer Health Digest

Serviks ialah proses pembukaan kawasan uterus anda yang mana bayi akan keluar melaluinya nanti. Sepanjang tempoh kehamilan kawasan ini sentiasa tertutup dengan lapisan yang tebal yang dinamakan mukus plug, ibarat seperti gabus yang menutup kepala botol bagi melindungi bayi.

Serviks akan mula menipis, meregang dan terbuka apabila proses kelahiran bermula. Proses ini dikenali sebagai efasemen dan dilation. Ini juga istilah yang dimaksudkan nurse apabila dia memeriksa bukaan rahim anda.

Proses bersalin tidak bermula selagi bukaan rahim (serviks) anda tidak mencecah 10cm.

[Baca juga : 7 Tips Bersalin Normal Tanpa Koyakan]

4. Pendarahan Berlaku

Apabila berlakunya perubahan pada serviks anda, ia akan mengeluarkan mukus plug. Ini akan membuatkan ketulan darah yang berwarna coklat, pink atau merah darah mula keluar.

Ini juga menunjukkan yang anda akan bersalin tak lama lagi. Perlu diingat, ada juga wanita yang tidak mengalami simptom ini.

Sekiranya anda mendapati berlakunya pendarahan pada minggu ke 32-34, sila berjumpa doktor dengan segera kerana dikhuatiri anda akan bersalin prematang.

5. Air Ketuban Pecah

Air ketuban yang pecah adalah tanda yang paling kuat menunjukkan anda akan bersalin. Ianya berlaku apabila terdapat lelehan air berterusan keluar dari vagina anda.

Sebaik sahaja ini berlaku, sila jumpa doktor dengan segera dan sentiasa perhatikan warna cecair tersebut. Sekiranya berwarna hijau, itu tandanya bayi anda sudah mengosongkan ususnya.

Hanya 10% wanita yang mengalami air ketuban pecah sebelum bersalin. Biasanya air ketuban pecah apabila anda sudah pun berada di atas katil hospital. Kadang kadang, sekiranya air ketuban tidak pecah, bayi anda akan keluar bersama-sama dengan kantung aminotik (gambar).

Sumber : Youtube
6. Perasaan Bersarang

Bersarang ialah satu perasaan yang wujud pada ibu bagi menyambut bayinya. Seperti seekor burung yang akan mengemas sarangnya apabila anak burung nak menetas.

Kajian sendiri membuktikan aktiviti ini juga turut berlaku pada ibu-ibu yang bakal bersalin. Nasihat kami, jangan terlalu agresif dan elakkan dari mengangkat barang dan perabot yang berat semasa mengemas rumah anda.

7. Cirit Birit

Semasa di peringkat awal kelahiran, badan anda akan merembeskan hormon prostaglandins, yang akan melembutkan serviks anda. Hormon ini juga akan merangsang pergerakan usus sekaligus mengosongkan usus bagi memberi laluan kepada bayi nanti.

Ini adalah tanda yang baik kerana membantu anda mengelak dari perut tak selesa semasa bersalin nanti.

8. Sakit Belakang

Sakit belakang adalah normal sepanjang anda hamil, tetapi apabila ia semakin teruk, itu tandanya anda sudah hampir nak bersalin.

Dalam keadaan biasa, bayi akan mengadap tulang belakang ibu semasa proses bayi ‘menurun’, tetapi ada sesetengah kes, bayi akan terlanggar tulang belakang ibu menyebabkan sakit belakang yang teramat sangat.

9. Sendi Sendi Rasa Melonggar

Semasa mengandung, hormon penenang akan membuatkan sendi anda longgar. Ini juga punca kenapa anda agak clumsy bermula pada minggu ke 29 kehamilan. Walapun begitu, ini adalah cara semulajadi badan anda bertindak balas bagi membuka pelvis untuk laluan bayi nanti.

10. Berlaku Kenaikan Atau Penurunan Berat Badan

Apabila semakin hampir dengan bersalin, tidak lagi berlaku kenaikan berat badan, malah ada yang semakin turut beratnya. Ini adalah normal dan tidak memberi kesan pada bayi. Bayi anda akan berterusan bertambah beratnya manakala anda akan berkurang disebabkan air ketuban yang sudah semakin kurang dan anda lebih kerap membuang air besar.

Soalan-Soalan Yang Sering Ditanya Berkaitan Bersalin

Bila Perlu Saya Berjumpa Dengan Doktor?

Anda dinasihatkan untuk berjumpa doktor apabila terdapat tanda tanda dibawah

  • Pendarahan berlaku
  • Air ketuban pecah terutamanya jika cecair yang keluar berwarna hijau atau coklat
  • Sakit kepala, pandangan menjadi kabur atau berlaku bengkak bengkak
  • Bayi kurang aktif
  • Berlaku kontraksi sebelum minggu ke 37 atau apa-apa tanda kelahiran pramatang

Apa Perlu Dilakukan Sebelum Anda Masuk Ke Wad Bersalin?
  • Banyakkan berjalan dalam keadaan tenang dan tak terburu-buru bagi membantu bukaan rahim
  • Minum air dengan cukup
  • Sentiasa perhatikan tanda tanda hampir bersalin

Apa Berlaku Sekiranya Air Ketuban Pecah Tetapi Tiada Kontraksi

Sekiranya air ketuban pecah tetapi tiada kontraksi yang berlaku, doktor mungkin akan menjalkan proses induce. Ini bagi mengelakkan dari bayi anda terkena jangkitan bakteria kerana tiada lagi lapisan perlindungan (amniotic sac).


Adakah Tiada Selera Makan Tanda Bersalin?

Ya. Di peringkat awal kelahiran, badan anda melalui satu lagi perubahan yang membuatkan anda letih dan hilang selera makan.


Apakah Tanda Yang Bukaan Rahim Sudah Terbuka?

Apabila serviks terbuka, badan akan bertindak balas dengan berlakunya kontraksi bagi mengetatkan otot di kawasan uterus lalu menarik serviks untuk terbuka lebih luas. Anda juga boleh memeriksa sendiri bukaan ini dengan memasukkan jari anda.

Sekiranya jari anda masuk dengan mudah dan anda dapat merasa tekstur yang lembut, itu menandakan bayi anda bila-bila masa sahaja akan keluar.

Pastikan jari anda dalam keadaan bersih dan bebas bakteria. Nasihat kami, biar nurse, mak bidan atau doktor yang periksa bukaan rahim anda.


Adakah Kenaikan Suhu Badan Tanda Hampirnya Bersalin?

Suhu badan anda mungkin akan berlaku kenaikan beberapa darjah disebabkan berlakunya kontraksi menandakan bersalin semakin dekat.


Terdapat beberapa perkara yang boleh anda lakukan bagi mempercepatkan proses bukaan rahim sekaligus mempercepatkan anda untuk bersalin. Antara perkara mudah yang boleh anda lakukan ialah berjalan kaki dan membuat hubungan seks dengan suami anda.

Walau bagaimana pun, tiada kajian konkrit untuk membuktikan kaedah ini berkesan. Saranan kami, bincang dengan doktor terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang aktiviti dengan tujuan untuk mempercepatkan proses kelahiran.

Kongsikan Artikel Ini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jom Baca Artikel Di Bawah