6 Perkara Perlu Buat Bila Anda Disahkan Mengandung

pemeriksaan kehamilan
[rank_math_breadcrumb]

Sebaik saja mendapat keputusan positif pada pregnancy test, ada yang rasa teruja, seronok, gembira, tetapi tak kurang juga yang berasa gementar dan sedikit risau. Bagi yang pertama kali mengalami kehamilan, tentunya ramai yang masih tertanya-tanya apakah langkah yang sepatutnya dilakukan sebaik saja disahkan mengandung – Perlukah melakukan pemeriksaan kehamilan di hospital? Apa yang perlu dibawa? Apa yang bakal dilakukan di sana?

6 Perkara Perlu Buat  Bila Dapat Tahu Anda Mengandung

Berikut adalah beberapa persediaan yang perlu anda lakukan.

1. Menjalani Ujian Di Klinik

Selalunya wanita akan menjalani ujian kehamilan di rumah sendiri menggunakan alat ujian yang dibeli di kedai. Ada yang membuat 1 kali ujian, 2 kali, dan seterusnya.

Untuk mengesahkan kehamilan ini, anda boleh pergi ke klinik kerajaan atau klinik swasta. Di sana, anda akan melakukan ujian air kencing sekali lagi beserta ujian darah. Setelah pemeriksaan kehamilan ini akan dilakukan, ujian saringan pula akan dibuat untuk menilai kesihatan ibu dan bayi dalam kandungan.

2. Mendaftar Untuk Pemeriksaan Antenatal

Selepas keputusan anda disahkan, anda biasanya akan terus mendaftar untuk pemeriksaan antenatal. Ibu mengandung boleh mendaftar untuk pemeriksaan berkala ini sebelum minggu ke-12 kehamilan.

Namun, tiada halangan jika anda ingin mendaftar seawal mungkin. Lebih awal, lebih baik kerana penjagaan yang lebih rapi dapat dipantau sejak hari mendaftar.

3. Butiran Yang Diperlukan

Semasa mendaftar, ada beberapa butiran asas yang akan diminta untuk melengkapkan maklumat dalam buku rekod. Antaranya adalah sejarah peredaran haid (biasanya akan ditanya tarikh haid terakhir) untuk menganggarkan usia kehamilan.

Selain itu, rekod kesihatan peribadi, butiran tentang pasangan, atau sejarah kehamilan / keguguran sebelum ini jika ada. Sejarah perubatan dan pembedahan adalah penting, terutamanya jika anda pernah mengalami penyakit seperti diabetes mellitus, tekanan darah tinggi, sakit jantung, penyakit ginjal atau lain-lain dan sedang dalam rawatan.

Maklumat kesihatan keluarga juga mungkin berguna untuk doktor kerana terdapat penyakit yang diwarisi dan membolehkan doktor untuk lebih peka terhadap petanda-petanda penting.

4. Menjalani Pemeriksaan Kehamilan Rutin

Selepas mengambil butiran yang diperlukan, jururawat akan membuat pemeriksaan fizikal dari hujung rambut ke hujung kaki. Pemeriksaan abdomen atau bahagian rahim mungkin agak tidak selesa bagi sesetengah ibu tetapi ini merupakan bahagian penting bagi pemeriksaan ketika kehamilan.

Selepas mendaftar dan menjalani pemeriksaan pengesahan, anda akan diberikan tarikh untuk temujanji selanjutnya. Dalam temujanji berikutnya, biasanya anda akan melakukan ujian air kencing, ujian darah, pemeriksaan tekanan darah, dan pemeriksaan ultrasound untuk memerhatikan perkembangan bayi dalam kandungan. Selain itu. kadar gula dalam darah juga akan dinilai melalui ujian air gula.

Pastikan anda sentiasa mematuhi tarikh temujanji ini agar perkembangan janin dapat dipantau dengan rapi. Jururawat juga akan merujuk bakal ibu kepada doktor gigi untuk pemeriksaan rutin.

5. Mengambil Vitamin Yang Disarankan

Selepas penilaian dilakukan ke atas ibu hamil, vitamin atau suplemen biasanya akan diberikan untuk memastikan perkembangan optimum janin dalam kandungan.

Pengambilan suplemen atau vitamin ini juga dapat membantu mencegah anemia atau masalah kesihatan lain sepanjang kehamilan,

6. Ketahui Tanda-tanda Bahaya

Dalam tempoh berikutnya, anda perlu lebih berhati-hati dalam segala jenis aktiviti yang dilakukan kerana anda kini berbadan dua. Ketahui tanda-tanda merbahaya seperti pendarahan vagina. Sebarang bentuk pendarahan ini adalah berisiko dan biasanya akan terus diminta untuk terus merujuk ke bahagian kecemasan.

Maklumkan Sebarang Masalah Kepada Doktor

Tidak kira di mana anda memilih untuk mendapatkan pemeriksaan antenatal, pastikan anda mematuhi setiap temujanji yang ditetapkan oleh doktor. Sekiranya anda tergolong dalam kumpulan yang berisiko tinggi, kehamilan anda mungkin akan dirujuk kepada doktor pakar. Dengan itu, lebih banyak ujian atau prosedur mungkin dijalankan demi memastikan proses kehamilan dan bersalin dapat berjalan lancar.

Oleh itu, jangan lupa maklumkan kepada doktor jika anda mengalami sebarang masalah kesihatan sepanjang tempoh kehamilan.

Kongsikan Artikel Ini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jom Baca Artikel Di Bawah