Jangan Guna Perkataan Jangan Atau “No” Semasa Melarang Anak

teknik melarang anak
[rank_math_breadcrumb]

Semenjak dua menjak ini saya sering ditanya soalan,

“How to say No without saying No to the kids?”

Dan seminggu dua ini juga saya banyak melihat situasi di mana ada ibu kerap berkata “No no no” pada anaknya, sambil jari telunjuk bergerak ke kiri ke kanan.

Kesiannya si anak. T____T

Tak dinafikan, dulu masa anak soleh kecil lagi saya kerap guna perkataan NO.

Sehinggalah saya baca satu artikel Inggeris (websitenya saya tak ingat), tentang kesan sebutan No pada anak.

Kesan Apabila Menggunakan NO atau Jangan

Sebenarnya apabila kita kata NO atau JANGAN..

1. Anak hanya dengar ayat selepas perkataan NO atau Jangan itu.  Contoh, “jangan lari” anak dengar lari. “Jangan sentuh”, anak dengar sentuh. “Jangan pukul”, anak dengar pukul.

Sebab itu lagi kita kata NO, lagi anak buat. Betulkan?

2. NO ini membantutkan perasaan seronok si anak yang ingin mencuba sesuatu. Fasa anak-anak kecil adalah fasa mereka teroka semuaaaa perkara di sekeliling mereka.

3. Kita bertambah stress! Setuju atau tidak, kita memang akan rasa stress lepas sebut NO atau Jangan. Yang ini, penulis itu tak sebut. Cuma dari pengalaman saya, memang boleh rasa level stress naik sikit demi sikit bila kita kerap sebut No/Jangan.

4. Bila kita stress, kita mula marah anak. Dan apabila kita marah, maka kita rugi 60 saat untuk rasa bahagia. Malah, kita ragut 60 saat rasa gembira si anak.

Itu kalau kita marah dalam tempoh 60 saat. Kalau lebih dari itu, maka kita dah rugi banyak masa untuk rasa bahagia.

CADANGAN & TEKNIK BAGI MENGGANTIKAN PERKATAAN NO

Jadi, apa saya buat dan apa yang dicadangkan oleh penulis adalah berikan arahan yang kita nak anak buat untuk kita. Bukan arahan yang kita nak anak buat untuk diri dia.

Antara ayat yang kita boleh tukar:

1. Don’t go there -> Stay close with Mama
Jangan pergi sana > Kemari dekat Mama.

2. Stop hitting -> keep your hands at your back
Jangan pukul > Sayang kawan (tunjuk contoh sekali).

3. Don’t screaming -> talk nicely
Jangan menjerit > Cakap elok-elok.

4. Don’t run -> walk slowly
Jangan lari > Tolong jalan perlahan-lahan.

5. Don’t climb -> stay on the ground
Jangan panjat > Turun sekarang.

6. Stop jumping -> sit down
Berhenti melompat > Duduk diam-diam.

Dan selebihnya, ibu-ibu bapa-bapa kena lebih kreatif cipta ayat arahan positif.

Nota 1: Beri arahan yang mudah, ringkas dan padat.

Nota 2: Otak ibu atau ayah kena lebih cepat dari mulut yang mahu berkata-kata. Saya memang pening kepala memikirkan ayat sesuai dengan situasi anak, supaya saya tidak sebut NO. Mencabar!

Nota 3: Nak latih tukar ayat ini bukan sehari dua, seminggu dua, sebulan dua. Berbulan-bulan lamanya baru biasa. Jadi, sabar wahai ibu ayah.

 


 

SAMBUNGAN DAN PENCERAHAN KEDUA

Ada dua perkara yang saya lihat dari komen-komen post saya berkaitan “How to say NO without saying NO to the kids?”

(Sekejap. Saya betulkan kids disini tukar kepada toddler – iaitu anak kecil berusia 3 tahun ke bawah).

Dua perkara yang banyak disebut dalam komen-komen post sebelum ini,

  1. Kena juga cakap NO kalau situasi bahaya.
  2. Mengapa guna arahan ringkas tanpa beri sebab

Sebenarnya saya tidak rancang pun buat post bersambung. Namun, melihat kepada komen-komen berkisarkan dua perkara di atas, maka saya lanjutkan perkongsian jadi lebih terperinci.

Untuk perkara pertama. Ibu bapa boleh cakap NO hanya untuk DUA keadaan saja.

  1. BAHAYA
  2. KOTOR

Tetapi (ha ada tetapinya), kena kenalpasti dahulu apakah keadaan itu betul-betul bahaya dan kotor?

Antara keadaan bahaya:

…..

…..

….. jujurnya saya memang tidak ada idea (bantu saya beri idea diruangan komen ya ^____^).

 

Dari malam tadi saya perah otak fikir keadaan yang bagaimana dikatakan bahaya. Tapi idea-idea satu pun tidak mahu datang pada saya. T____T

NO DALAM KEADAAN BAHAYA

Sebab saya fikir, sebelum keadaan itu jadi bahaya, kita terlebih dahulu sediakan tempat yang selamat atau bersiar-siar di persekitaran yang selamat untuk si anak.

Contohnya, anak pegang suis elektrik. Anak masukkan charger telefon dalam mulut. Anak pegang gelas kaca. Anak makan sabun. Anak makan guli mainan si abang. Anak kita pegang pisau dan waktu itu kita jauh dari anak.

Mesti tercakap NO sebab nak larang dia dari bahaya-bahaya di atas.

Soalan saya, bagaimana anak tadi boleh pegang pisau? Dari mana datangnya pisau? Semudah mana anak boleh capai pisau itu?

Dimana sepatutnya kita letak charger selepas guna? Adakah anak mandi seorang diri dan menyebabkan dia makan sabun?

Di mana sepatutnya kita letak guli si abang selepas si abang selesai bermain? Mengapa tidak kita tukar gelas kaca kepada gelas plastik?

Persoalan-persoalan sebegini yang akan bantu ibu bapa untuk meminimakan stress diri sendiri dari sebut NO.

Dan memaksimumkan potensi si anak kecil untuk meneroka sekelilingnya.

 

Makanya,

  1. Alih dahulu objek-objek yang bahaya.
  2. Buat pantauan tempat-tempat yang kita mahu pergi itu bahaya atau tidak.

 

Contoh lain pula. Seandainya kita rasa anak pegang garfu besi itu bahaya, maka jangan beri. Jika ibu bapa mahu beri,

  1. Pantau anak
  2. Duduk dekat dengan anak
  3. Tunjuk cara yang betul guna garfu
  4. Beri anak masa 15 minit untuk belajar dan teroka aktiviti bersama garfu
  5. Tukar kepada garfu plastik. Dan tetap, ibu bapa kena pantau juga.

Sekiranya kita rasa anak kecil pegang garfu pun bahaya, maka kita terdorong untuk berkata NO saat anak capai garfu. Dari situ, semuaaaaaa keadaan kita rasa bahaya. Bila semua keadaan kita rasa bahaya, kita lebih mudah dan kerap sebut NO itu.

Kesian si anak yang dalam proses belajar tadi.

 

NO DALAM KEADAAN KOTOR

Bagi keadaan yang kotor pula, pastikan kotor yang bagaimana anak kecil tidak boleh pegang atau sentuh langsung.

Jika setakat anak baring atas rumput taman, baring atas simen di laman rumah kita, makan pasir pantai, pijak-pijak lopak air hujan..

Biarkan. Biarkan anak rasa semua itu. Itu bukan kotor. Itu namanya belajar.

Pengalaman saya, anak soleh ketika berusia kurang setahun pernah makan pasir pantai. Saya nampak dan saya biarkan. Sehingga dia sendiri merengek minta saya bersihkan.

Pengalaman itu yang anak perlu rekod dalam memori mereka. Supaya mereka belajar yang pasir bukan makanan dan tidak boleh makan.

Melainkan rumput, lopak air dan pasir tadi ada najis haiwan, itu jelas kotor. Dan sudah tentu dari awal lagi kita tidak bawa anak kita ke tempat tersebut.

Akhirnya, kita selamat dari sebut NO pada anak kecil.

Perasan atau tidak, selepas kita kenalpasti betul-betul untuk dua keadaan ini, semakin kurang kita sebut NO. Dan makin seronok untuk anak kecil belajar dalam dunianya.

Sekali lagi. Memang mencabar. Dan cabaran ini tidak akan pernah habis selama mana anak kecil sedang melalui proses membesar.

Nota tambah: Ada yang tanya bila boleh aplikasikan teknik ini? Jawapan saya, seawal usia anak yang sudah faham terima arahan.

Bagi saya, tidak ada umur yang tetap kerana setiap anak kecil itu melalui proses perkembangan yang berbeza-beza. Ada yang umur 6 bulan sudah boleh faham arahan. Ada yang usia 11 bulan baru faham arahan.

Apa yang penting, cuba aplikasikan teknik ini seawal anak di bawah usia 1 tahun.

 

Nota ringkas: Saya insyaAllah akan sambungkan perkara kedua iaitu “Mengapa guna arahan ringkas tanpa beri sebab?” di post akan datang.

 

Artikel Ini Dikongsikan Puan Shuhadah Khalil Di Facebooknya.
Untuk perkongsian asal, anda boleh pergi ke sini dan sini.

 

Kongsikan Artikel Ini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jom Baca Artikel Di Bawah