3 Risiko Bahaya Bayi Tidur Meniarap Yang Perlu Anda Tahu

Bayi tidur meniarap
[rank_math_breadcrumb]

Semasa bayi masih lagi kecil, mereka sentiasa memerlukan penjagaan dan pengawasan yang betul daripada ibu bapa, hatta sewaktu mereka tidur. Mungkin bagi kita, adalah biasa bagi bayi tidur meniarap. Sesetengah orang tua-tua pula mengiakannya. Tapi tahukah anda, bayi tidur meniarap ada risikonya?

Tidur meniarap sebenarnya bukan posisi tidur yang terbaik untuk bayi kecil anda. Hal ini adalah sangat serius semasa bayi tidur meniarap, 3 perkara buruk di bawah ini boleh berlaku. Terutamanya sewaktu anda tidak sedar!

Bayi tidur meniarap

1. Bayi boleh tersembam

Semasa tidur meniarap, posisi kepala bayi boleh saja berubah-ubah. Jadi, adalah tidak mustahil untuk bayi tersembam (tertutup muka sendiri). Pada umur yang baru sahaja beberapa bulan, tulang mereka masih lagi belum kuat dan bayi belum lagi berupaya untuk mengangkat kepala mereka semula.

Apabila tersembam, bayi tidak boleh minta tolong kerana mereka masih belum dapat bercakap. Sekiranya bayi tersembam dan anda tidak berada di sisinya untuk membetulkan kepala, ianya adalah bahaya dan boleh membawa kepada perkara kedua di bawah.

2. Bayi susah bernafas

Apabila mereka tidur meniarap, rahang bayi akan menerima tekanan akibat posisi tersebut. Keadaan ini boleh menyempitkan saluran pernafasan dan menyebabkan mereka susah bernafas. Bayi juga boleh mengalami kesukaran untuk bernafas sekiranya mereka tersembam semasa tidur.

3. Meningkatkan risiko Sindrom Kematian Bayi Secara Mengejut (SIDS)

Sudden Infant Death Syndrome (SIDS) atau Sindrom Kematian Bayi Secara Mengejut sebenarnya adalah nama yang digunakan untuk kes kematian bayi yang berlaku secara tiba-tiba. Untuk kes sebegini, bayi biasanya tidak menunjukkan tanda-tanda sakit ataupun tidak sihat. Posisi tidur meniarap juga dikaitkan dengan kes kematian bayi sebegini.

Bagi mengatasi kerisauan berkenaan tidur bayi ini, Akademi Pediatrik Amerika telah mencadangkan posisi tidur telentang sebagai posisi tidur yang terbaik bagi bayi pada tahun 1992. Semenjak posisi tidur telentang dicadangkan, kes kematian bayi secara mengejut (SIDS) direkodkan berkurang sehingga 50%.

Bagi kes-kes bayi tertentu seperti yang mempunyai masalah kecacatan di bahagian kepala ataupun mempunyai risiko pernafasan tersekat disebabkan oleh lidah yang besar, posisi tidur telentang ini dikecualikan.

“Tapi saya punya bayi tidur meniarap okay je. Saya dah latih dia. Tak ada masalah pun”

Pengalaman peribadi sendiri sebenarnya bukan ukuran yang bagus untuk menentukan posisi tidur yang terbaik bagi semua bayi secara amnya. Mungkin ianya sesuai untuk bayi anda, tapi tidak untuk bayi-bayi lain.

Jika bayi anda tidur meniarap, anda perlu sentiasa mengawasinya untuk segera membetulkan posisi kepalanya seandainya dia tersembam secara tidak sengaja. Untuk kebanyakan kes, ibu bapa tak akan berada di sisi bayi sepanjang masa bayi tidur untuk melihatnya.

Biasanya, ibu bapa akan bergegas kepada bayi hanya apabila terdengar tangisan. Bila tidur pada waktu malam pula, makin kuranglah pengawasan kita terhadap posisi kepala bayi jika mereka tidur meniarap.

Awasilah posisi tidur bayi anda mulai hari ini. Sebaiknya, latihlah mereka untuk tidur secara telentang pada peringkat awal umur mereka.

Kongsikan Artikel Ini

One Comment

  1. Sekiranya kajian mengatakan tidurkan bayi secara meniarap punyai risiko, apa yang perlu saya lakukan pada anak saya yang tak boleh tidur dalam posisi terlentang
    dan bila saya meniarapkan barulah dia nyenyak tidur, saya dan isteri sudah cuba berbagai cara untuk tidurkan bayi secara terlentang masih tidak berjaya. harap admin boleh bagi cadangan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jom Baca Artikel Di Bawah