Makanan Pertama Yang Terbaik Untuk Bayi Anda

resepi puri avokado berkrim untuk bayi
[rank_math_breadcrumb]

Penceraian susu badan (weaning) disertai dengan pengenalan makanan pepejal kepada bayi merupakan perkara yang dinanti-nantikan oleh setiap ibu bapa. Si kecil akan melangkah ke alam baru, merasa pelbagai jenis makanan dan ia pasti sesuatu yang mencabar dan menyeronokkan.

Ibu bapa juga perlu bijak memilih makanan pertama kepada bayi. Makanan pertama bayi haruslah sejenis makanan sahaja. Menurut pakar, buah-buahan seperti avokado, pisang dan ubi keledek merupakan antara pilihan yang terbaik sebagai makanan pertama bayi di antara 4 hingga 6 bulan.

Menurut Annabel Karmel, penulis buku terlaris di UK tentang pemakanan kanak-kanak, avokado merupakan makanan yang paling sesuai sebagai makanan pertama semasa proses penceraian susu. Avokado kaya dengan lemak mono-tidak tepu, sejenis lemak yang ‘baik’ dapat menurunkan risiko sakit jantung.

Buah ini mempunyai kadar kalori yang tinggi berbanding buah lain, menepati keperluan bayi yang sedang membesar. Ia juga kaya dengan vitamin E yang boleh bertindak sebagai antioksidan mencegah kanser serta meningkatkan daya sistem imun badan. Tambahan pula, avokado sangat mudah untuk dicerna oleh bayi.

Untuk memudahkan bayi anda menelan makanan pertamanya, pastikan anda menghasilkan puri buah yang lembut dan berkrim. Cara penyediaan puri buah avokado sangat mudah! Tidak perlu mesin pengisar atau memasak.


RESEPI PURI AVOKADO BERKRIM

Bahan-Bahan:

1 biji kecil avokado yang sudah ranum

Cara-cara:

  • Belah avokado kepada dua bahagian, keluarkan biji
  • Kaut isi avokado dan lenyekkan menggunakan garfu
  • Tambah sedikit susu formula/susu badan (mengikut kesesuaian bayi anda) dan teruskan melenyek sehingga ia membentuk puri avokado yang berkrim

Tips Penyimpanan Puri Avokado Berkrim

  • Untuk menjimatkan masa penyediaan puri di masa hadapan, anda boleh menyediakannya dalam jumlah yang banyak dan simpan di dalam peti sejuk beku (freezer).
  • Puri avokado tahan lama sekurang-kurangnya dua minggu. Simpan puri di dalam bekas kiub ais dan tutup dengan kertas aluminium sebelum disimpan di dalam peti. Jangan risau, ia tetap segar apabila dicairkan.
  • Apabila anda hendak menyediakan puri tersebut, ambil beberapa ketul puri beku yang hendak disediakan pada waktu itu sahaja. Cairkan menggunakan ketuhar selama 15 saat secara berkala. Selepas setiap 15 saat, kacau puri sehingga cair. Apabila puri telah cair dan suam mengikut suhu yang diingini, pastikan anda kacau lagi agar suhu puri seimbang.
  • Anda juga boleh cairkannya di atas dapur gas dengan api yang kecil. Kacau sehingga cair dan jangan terlalu lama kerana puri mudah hangus
  • Pastikan anda tidak menyimpan lebihan makanan bayi anda walaupun di dalam peti sejuk. Air liur bayi telah bercampur dengan makanan dan akan mencemarinya. Bakteria pada air liur boleh membiak dan akan mengakibatkan keracunan makanan.

Resepi yang sangat mudah disediakan! Dalam masa sekurang-kurangnya 3 minit sahaja anda boleh menyediakan makanan pertama yang kaya dengan khasiat kepada bayi anda. Selamat mencuba!

Sumber KeluargaBaru.com:

 

Kongsikan Artikel Ini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jom Baca Artikel Di Bawah