5 Sebab Anak Suka Membaling Barang. Bukannya Sebab Nakal!

[rank_math_breadcrumb]

Bagi kita, perbuatan membaling barang, makanan dan mainan dianggap kurang sopan. Malah, ada kalanya ia amat menyakitkan dan membuat kita geram. Tapi, tahukah anda sebenarnya bagi anak kecil, ia ibarat menghasilkan ‘magik’ di mana mereka rasa terpegun dan teruja untuk melihat hasilnya!

Walaubagaimanapun, jika perbuatan mereka ini terlalu agresif dan kerapkali dilakukan, kita sebagai ibu bapa perlu tahu mengapa mereka bertindak begini supaya kita mudah menanganinya.

5 Sebab Anak Suka Melempar Dan Membaling Barang

Ada beberapa sebab mengapa anak suka melempar dan cara yang boleh lakukan jika mereka berkelakuan sedemikian

1. Sifat Ingin Tahu

Pada waktu ini, anak lebih cenderung untuk meneroka. Mereka ingin tahu sebab dan akibat yang terjadi hasil perbuatannya. Apabila dia baling bola, bola akan melantun. Apabila membaling tomato, anak akan tahu yang ia akan hancur dan bersepah. Mereka juga berasa seronok dapat belajar benda yang baru.

Penuhi sifat ingin tahu anak dengan bermain dengannya. Lakukan akitiviti rangsangan deria dengan biarkan dia menyentuh dan membaling objek seperti agar-agar atau pasir.

2. Mahu perhatian

Jika anak kecil suka membaling botol susu, mungkin kita boleh agak yang dia masih lapar dan mahu kita buatkan lagi susu untuknya. Itu merupakan cara untuk anak kita berkomunikasi semasa masih belum pandai bercakap.

Bila anak kita sudah sedikit besar dan masih membaling barang dan menjerit-jerit pada kita, mungkin ada perkara yang dia ingin kita tahu. Dekati anak, ambil berat tentang keperluannya. Mungkin si anak mempunyai masalah di tadika atau sedang stres.

3. Anak Perlu Lepas Geram

Kita sebagai dewasa juga rasa mahu membaling barang apabila marah. Inikan pula anak kecil. Apabila dia sedang marah, berikan dia masa untuk melepaskan geram. Jangan nafikan emosinya. Hormati dan fahami perasaannya.

Biarkan dia di dalam bilik selama beberapa minit dan ajak dia berbincang selepas itu. Jangan mendesaknya untuk bercerita semasa dia sedang marah, takut lebih teruk nanti jadinya. Bila anak sudah sedikit tenang, dia pasti lebih terbuka untuk meceritakan kekecewaannya.

4. Anak Tak Faham Kesan Daripada Perbuatannya

Anak-anak yang tidak dicegah apabila melakukan perbuatan yang kasar tidak tahu yang perkara itu salah. Kita sebagai ibu bapa perlu mendidiknya supaya faham apa yang akan terjadi bila dia melakukan perkara itu. Contohnya dia membaling barang pada kanak-kanak lain, katakan yang perbuatan itu salah dan kawannya akan merasa sakit. Ajar anak untuk bergaul secara sopan dengan kanak-kanak lain.

Bila menasihati anak, jadilah lebih spesifik. Tunjukkan mana kesalahan anak dan perbetulkan caranya ketika itu juga. Jangan biarkan anak melakukan kesalahan yang sama berulang kali. Buatkan anak faham ada barang yang boleh dibaling, ada yang tidak.

5. Anak Mahu Melihat Reaksi Kita

Bila anak baling barang pada kita, dan kita mengaduh, dia mula ketawa gembira melihat reaksi kita. Cuba lebih konsisten dengan reaksi kita. Anak akan perlahan-lahan  belajar jika kita menegurnya berkali-kali dengan tegas.

Terangkan pada anak kesan tindakannya pada kita. Katakan bahawa perbuatannya salah dan menyakitkan kita. Jika anak suka membaling barang, buat aktiviti bersama anak seperti bermain bola atau membaling belon air.

anak suka melempar
Foto Kredit: alamy.com

Beri Peluang Anak Ekspresi Perasaannya

Jangan terus marahkan dia. Segala tindak-tanduk anak punya sebab tertentu. Oleh itu, cuba berikan anak ruang untuk menerokai supaya dapat memuaskan sifat ingin tahunya.

Ada teknik yang betul anak dapat belajar daripada persekitarannya. Cuba beri alatan yang betul seperti cat warna, kertas, belon air, dan sebagainya dan ajak anak bereksperimen melempar barang-barang ini di luar. Sekali-sekala, biarkan mereka ‘bermain’ dengan makanan. Dengan berpeluang mempraktikkannya secara bebas, mungkin sifat anak akan menjadi lebih terkawal.

Kongsikan Artikel Ini

One Comment

  1. selalu geram baby saya 1yo suka baling mainan dia, bila kita ambil dan beri semula pada dia…dia balik lagi huhuhu.

Leave a Reply to mummy maryam Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jom Baca Artikel Di Bawah