9 Pantang Larang Semasa Mengandung Yang Terbukti Oleh Sains

[rank_math_breadcrumb]

“Syukurlah, aku dah disahkan mengandung. Teruja dan seronok sangat sebab dah lama menunggu. Tapi, tadi kawan aku cakap lepas ni dah kena ikut banyak pantang larang semasa mengandung. Dah tak boleh pegang kucing, tak boleh makan nanas, tak boleh cabut gigi, tak boleh makan maggi dan macam-macam lagi. Betulkah semua ini?”

Kalau ikut orang tua-tua, tubuh orang mengandung memang sensitif. Maka, banyak perkara perlu dititikberatkan dan banyaklah pantang larang semasa mengandung yang kena dipraktikkan demi kesihatan ibu serta kandungan.

Walaupun zaman berubah, tidak semua yang mereka katakan itu tidak relevan. Malah, ada beberapa pantang larang semasa mengandung yang telah dibuktikan oleh kajian sains. Jadi, ia sememangnya perlu dihindari untuk mendapatkan tahap kesihatan yang optimum.

9 Pantang Larang Semasa Mengandung Yang Terbukti Oleh Sains

Berikut adalah pantang larang semasa mengandung yang telah terbukti oleh sains.

1. Elak Pegang Kucing

Kucing adalah haiwan yang comel dan mudah mesra. Memang pantang nampak, mesti nak usap dan belai mereka.

Walaubagaimanapun, ketika mengandung wanita perlu lebih berhati-hati serta perlu mengehadkan masa bersama dengan haiwan kesayangan anda – khususnya dari segi pengendalian najis kucing. Menurut sebuah artikel dalam akhbar tempatan, kucing boleh membawa kesan negatif kepada kehamilan kerana terdapat sejenis parasit iaitu protozoa yang menyebabkan sejenis jangkitan toksoplasmosis yang tidak membahayakan orang dewasa tetapi boleh menyebabkan masalah kesihatan serius kepada bayi dalam kandungan.

Oleh itu, jika anda membela kucing di dalam rumah, pastikan anda menjaga kebersihan sebaik mungkin dan rajin-rajin membasuh tangan sesudah memegang kucing atau sebelum memasak makanan. Paling penting, gunakan sarung tangan atau dapatkan seseorang untuk mengendalikan najis mereka untuk anda.

Foto Kredit: rd.com

2. Berendam Dalam Air Panas

Berendam dalam air panas memang selesa, tetapi aktiviti ini sebenarnya tidak digalakkan jika anda sedang hamil.

Menurut laman web BabyCenter, terdapat kajian menunjukkan bahawa mandi air panas terutamanya dalam bulan terawal kehamilan boleh menyebabkan kecacatan anak semasa lahir. Selain itu, air mandian yang terlalu panas boleh menjadikan wanita hamil menjadi loya atau pitam kerana kepanasan tersebut merendahkan tekanan darah.

Risiko kepanasan melampau ini adalah lebih cenderung pada air tab panas (bath tub) atau sauna manakala kurang dilihat pada mandian pancuran (shower).

Foto Kredit: shutterstock.com

3. Cabut Gigi

Seperti yang kita tahu, tubuh badan wanita akan mengalami perubahan sepanjang kehamilan. Salah satunya adalah gingivitis atau bengkak gusi yang menyebabkan sesetengah ibu mengandung berasa sakit gigi. Pakar berpendapat bahawa rawatan pergigian yang melibatkan suntikan yang akan masuk ke dalam darah perlu dielakkan. Begitu juga halnya dengan pengambilan ubat antibiotik atau ubat tahan sakit yang tertentu serta imbasan X (X-ray).

Walaupun begitu, ibu hamil tidak sepatutnya menahan kesakitan sendiri tanpa membuat pemeriksaan dengan doktor gigi. Dengan pemantauan rapi, mereka boleh mempreskripsikan rawatan atau ubat yang terbaik bergantung kepada keadaan anda.

4. Ubat jerawat

Sesetengah wanita mengalami masalah jerawat yang sangat teruk semasa kehamilan akibat perubahan hormon. Jika ia berlaku kepada anda, kerapkanlah mencuci muka dengan air bersih dan gunakan losyen dan pembersih muka yang berasaskan unsur organik untuk lebih selamat.

Sekiranya ianya terlalu serius, berjumpalah dengan pakar kulit atau doktor. Elakkan membeli ubat sendiri di farmasi kerana terdapat segelintir bahan kimia seperti accutane (isotretinoin), tetracycline, doxycycline, dan minocycline yang boleh menyebabkan masalah kecacatan serta masalah pada pembentukan gigi dan tulang bayi.

Foto Kredit: miel-thym.com

5. Kafein

Dalam kuantiti kecil, seperti segelas sehari umumnya tidak akan mendatangkan mudarat kepada bayi. Namun, pengambilan yang berlebihan berisiko menyebabkan kelahiran kurang berat badan pada bayi, kelahiran pramatang atau keguguran, seperti yang dinyatakan oleh NHS Choices.

Kafein bukan saja terdapat dalam kopi, tetapi ia juga kadangkala ditambah dalam soda, minuman tenaga (energy drink), atau teh, dan coklat. jadi, berhati-hati semasa meminum dan memakan kesemua jenis makanan ini.

Foto Kredit: shutterstock.com

6. Merokok / Mendampingi Perokok

Sungguhpun kebanyakan wanita di Malaysia tidak merokok, tetapi ramai yang terdedah kepada asap rokok. Sebenarnya, kesan asap rokok ini lebih merbahaya daripada apa yang anda sangkakan kerana asap rokok ‘basi’ ini lebih bertoksin berbanding asap rokok yang dihidu oleh perokok itu sendiri.

Bayi dalam kandungan berisiko dilahirkan kurang berat badan dan lebih teruk lagi ia boleh menyebabkan risiko kematian mengejut. Malah, toksin yang dihidu dikhuatiri dapat merencatkan perkembangan bayi dalam kandungan sehingga menjejaskan kesihatan mereka apabila lahir dan semakin dewasa kelak.

pantang larang semasa mengandung
Foto Kredit: mamme24.it

7. Makanan Mentah

Jika sebelum ini anda adalah seorang penggemar makanan mentah seperti sushi, telur mentah dan sebagainya, seeloknya anda mengehadkan pengambilan makanan ini semasa mengandung.

Pantang larang semasa mengandung ini didasari oleh kajian yang menunjukkan bahawa makanan mentah lebih terdedah kepada bakteria, virus, dan parasit hidup yang boleh mengganggu perkembangan kehamilan, terutamanya pada peringkat awal. Maka, pastikan makanan yang diambil dicuci dengan bersih dan dimasak secukupnya agar semua risiko ini dapat diminimumkan.

Foto Kredit: oyatsubox.com

8. Makanan Manis / Berkalori Tinggi / Tinggi MSG

Semua jenis makanan yang tidak sihat seharusnya dihindari kerana ia bukan saja tidak berkhasiat, malah boleh meninggikan kebarangkalian untuk anda menghidap kencing manis ketika hamil.

Kalau teringin sangat, bukanlah langsung tak boleh makan. Tapi, kenalah berpada-pada dan jangan makan terlalu banyak. Sebaliknya, lebihkan pengambilan buah-buahan dan snek berkhasiat seperti buah-buahan kering dan kekacang. Sedap juga, bukan?

Foto Kredit: bbc.com

9. Bahan Kimia/ Kosmetik / Produk Kesihatan Yang Berlebihan

Anda mungkin tidak perlu risau jika anda melakukannya sekali-sekala, tetapi wanita yang bekerja di salon contohnya perlu lebih berhati-hati. Dalam bahan kimia pada pewarna rambut dan cat kuku misalnya terkandung phathalates dan aseton yang dapat menimbulkan permasalahan pada sistem reproduksi. Hal yang sama juga jika anda sering terdedah kepada cat rumah dan sebagainya.

Selain itu, jika anda sedang mengamalkan apa-apa produk semasa kehamilan, semak label dan pastikan ianya selamat untuk dimakan oleh wanita hamil.

ubat ibu menyusu
Foto Kredit: vanityfair.com

Jangan Terlalu Stres

Mungkin terlalu banyak perkara yang anda suka lakukan tidak dapat anda teruskan semasa kehamilan. Jangan stres, semua ini hanyalah sementara.

 

Kongsikan Artikel Ini

One Comment

  1. Boleh saya tahu benar ke apa yang di katakan orang tua2 semasa isteri tengah mengandung,kita x noleh langgar haiwan,tapi mcm mana pulak jika tmpat itu gelap tetiba dah ada haiwan itu kena langar apa akan jadi pada kandungan si ibu..

Leave a Reply to Muhamad Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jom Baca Artikel Di Bawah