Membasuh Alat Permainan Boleh Cegah Jangkitan Kuman

[rank_math_breadcrumb]

Adakah anda membasuh alat permainan si kecil? Bilakah kali terakhir anda melakukannya? Memastikan alat permainan sentiasa bersih merupakan satu langkah yang bijak!

Anak kecil terutamanya bayi sering memasukkan jari atau alat permainan ke dalam mulut. Jika alat permainan dan permukaan tempat si kecil bermain tidak bersih, bakteria dan virus pasti mudah berpindah kepada bayi.

Perkara ini sering diambil ringan oleh para ibu bapa. Alat permainan yang kotor boleh meningkatkan risiko jangkitan bakteria dan virus pada kanak-kanak.

Membersihkan alat permainan seharusnya dijadikan rutin kepada para ibu bapa sama seperti membasuh kereta mahupun mengemop lantai rumah.

membasuh alat permainan boleh elak jangkitan kuman

Berapa kerap anda perlu membersihkan alat permainan si kecil?

Ia terpulang kepada ibu bapa berapa kerap alat permainan itu hendak dibasuh. Anda tidak perlu menyusahkan diri membersihkannya setiap hari. Namun, adalah baik jika alat permainan anak anda dibersihkan pada masa yang tertentu seperti;

  • Apabila alat permainan kelihatan kotor (contoh: makanan tumpah pada alat permainan, atau dibawa main keluar rumah)
  • Anak anda baru sembuh daripada sebarang jangkitan seperti selsema atau cirit birit. Dikhuatiri alat permainannya masih dicemari dengan bakteria/virus yang menyebabkan anak anda sakit
  • Kanak-kanak lain memasukkan alat permainan anak anda ke dalam mulut mereka
  • Setiap hujung minggu/bulan

Kaedah membasuh alat permainan

Alat permainan keras (diperbuat daripada plastik)

Kaedah 1

  1. Gosok alat permainan dengan berus dan air sabun
  2. Bilas dengan air bersih
  3. Keringkan dan lap dengan tisu alcohol (wet wipe tissue)

Kaedah 2

  1. Gosok alat permainan dengan berus dan air sabun
  2. Rendam di dalam *air yang dicampur peluntur selama 10-20 minit
  3. Bilas dengan air bersih
  4. Keringkan

Alat permainan yang mempunyai bateri/diperbuat daripada kayu atau besi/permainan bersaiz besar

  1. Lap permukaan luar menggunakan span sabun
  2. Kemudian lap menggunakan kain lembap yang telah direndam *air yang dicampur peluntur
  3. Keringkan

*Cara mudah sediakan air campuran peluntur:

Campurkan 1 sudu (15 ml) peluntur untuk setiap 1 liter air.

Peluntur yang telah dicampurkan air pada jumlah yang betul adalah selamat untuk digunakan sebagai cecair pembersih alat permainan. Klorin pada peluntur akan tersejat dengan cepat semasa dikeringkan.

Alat permainan lembut/kapas/kain

  • Sebilangan alat permainan boleh sahaja dibasuh menggunakan mesin basuh.
  • Sekiranya ia tidak sesuai dibasuh menggunakan mesin, rendam dengan air sabun, bilas dan keringkan di bawah cahaya matahari.
  • Permainan yang sukar dibersihkan atau terlalu kotor eloklah dibuang sahaja untuk mengelak pembiakan kuman.

membasuh alat permainan menggunakan mesin basuh

Membiasakan si kecil mempunyai bantal atau selimut busuk juga sebaiknya tidak perlu diamalkan. Ini kerana, kotoran bakteria akan berkumpul pada bantal dan selimut dan ia sebenarnya boleh mengundang jangkitan. Untuk anak yang mempunyai bantal/selimut busuk, basuhlah sekali-sekala terutamanya apabila ia kelihatan kotor.

Tips lain menjaga kebersihan alat permainan

  • Simpan permainan di dalam bekas tertutup yang bersih setiap kali selepas main
  • Sebaiknya, setiap anak mempunyai permainan sendiri. Kurangkan berkongsi permainan terutamanya patung mainan fabrik
  • Permainan yang tidak boleh dibasuh seperti plastisin perlu diganti apabila ia sudah lama digunakan kerana bakteria pasti sudah berkumpul di dalamnya
  • Kotak pasir perlu diganti secara berkala dan ditutup jika tidak digunakan untuk mengelakkan haiwan liar mengotorkan pasir tersebut
  • Sekiranya ada permainan yang kelihatan kotor, jangan campurkan bersama permainan bersih. Asingkan ia sebelum dibasuh

Jadikan aktiviti membersihkan alat permainan sebagai salah satu rutin kerja rumah. Ibu bapa perlu bijak dan prihatin terhadap kesihatan anak-anak. Kesihatan keluarga bermula daripada persekitan rumah yang bersih. InsyaAllah.

Sumber: International Scientific Forum on Home Hygienefisher-price.com
Sumber gambar: bbc.comdebate.orguvicube.com

Kongsikan Artikel Ini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jom Baca Artikel Di Bawah