Tips Sejuk Beku Puri Bayi yang Ibu Bapa Wajib Tahu

[rank_math_breadcrumb]

Bagi ibu bapa yang sibuk, menyediakan puri bayi untuk si kecil setiap hari mungkin sedikit membebankan. Menyejuk bekukan puri bayi adalah alternatif yang terbaik kerana ia boleh bertahan sehingga beberapa bulan lamanya!

Ibu bapa perlu memastikan cara menyejuk bekukan puri bayi adalah betul supaya makanan tidak mudah rosak. Tempoh menyimpan puri bayi juga berbeza bagi makanan-makanan tertentu. Terdapat juga makanan yang tidak sesuai untuk disejuk bekukan.

Jom ketahui tips sejuk beku puri bayi!

7 Langkah Utama Menyejuk Bekukan Puri Bayi

  1. Gunakan dulang ais kiub (ice cube tray) untuk menyimpan puri bayi. Pastikan ia sudah dibasuh bersih dan dikeringkan sebelum digunakan
  2. Sebelum menyejuk bekukan puri, pastikan ia sudah sejuk sekurang-kurangnya pada suhu bilik
  3. Pindahkan puri ke dalam dulang kiub. Masukkan dulang berisi puri itu ke dalam plastik yang boleh di-seal atau tutup dulang menggunakan plastik pembalut/foil aluminium dengan kemas. Sekiranya dulang tersebut mempunyai penutup, tutup dengan rapat.
  4. Letakkan dulang berisi puri di dalam peti bahagian sejuk beku. Pastikan suhu dibawah -18°C.
  5. Selepas puri beku sepenuhnya, pindahkan kiub puri tersebut ke dalam plastik sealed. 
  6. Label puri tersebut. Tulis nama makanan dan tarikh masuk peti sejuk beku. Ini sangat penting untuk membantu ibu bapa mengetahui makanan mana yang perlu dimakan dahulu. Konsep ini dikenali sebagai ‘First in, First out’ (FIFO). Makanan yang paling awal masuk peti, perlu digunakan dahulu
  7. Letakkan semula puri yang sudah dilabel ke dalam peti bahagian sejuk beku.

Tips penggunaan dulang kiub ais

Mengapa dulang kiub ais digunakan? Apabila puri dibekukan dalam dulang ais, ia lebih mudah untuk dicairkan dalam jumlah yang sedikit. Berbanding jika dibekukan dalam bekas biasa, puri pasti sukar dibahagikan dalam jumlah yang kecil semasa ingin mencairkannya.

Dulang kiub ais yang fleksibel adalah pilihan yang baik untuk membekukan puri. Apabila puri beku sepenuhnya, ia lebih mudah untuk dikeluarkan daripada dulang fleksibel berbanding plastik keras.

Sekiranya puri beku susah keluar daripada dulang, siram belakang dulang dengan air sejuk. Keluarkan kiub puri ke atas permukaan yang bersih.

dulang kiub untuk puri bayi
Dulang kiub ais yang fleksibel diperbuat daripada silikon dan mempunyai penutup

Berapa lama puri bayi sejuk beku boleh disimpan?

  • Bahagian sejuk beku: 3-6 bulan (tetapi sebaiknya puri dihabiskan dalam masa 1-3 bulan)
  • Bahagian chiller (buah/sayuran): 2 hari (48 jam). Maksimum 3 hari (72 jam)
  • Bahagian chiller (daging, ayam, ikan, telur): Maksimum 24 jam

Untuk memastikan kualiti makanan terjaga, sebaik-baiknya makanan sejuk beku disimpan maksimum selama 3 bulan (walaupun ia boleh bertahan sehingga 6 bulan). Semakin cepat ia digunakan, semakin baik. Ini kerana khasiat pada puri boleh berkurangan jika disimpan lama.

Puri yang disimpan dibahagian chiller perlu digunakan secepat mungkin kerana bakteria boleh membiak pada suhu chiller jika disimpan lama.

Makanan yang tidak sesuai untuk disejuk-bekukan

  • Telur rebus
  • Buah/sayur yang berair (timun, tembikai)
  • Mayonis
  • Yoghurt dan keju

Puri yang ingin dibekukan sebaiknya tidak dicampur dengan sebarang air/susu (contoh; puri buah/sayur) semasa ingin dibekukan. Jika ingin menambah air/susu, tambah hanya apabila puri bayi sudah dicairkan.

4 Cara mencairkan puri bayi yang sejuk-beku

Puri sejuk beku boleh dicairkan dengan cara berikut;

1. Panaskan menggunakan microwave

  • Cairkan puri di dalam bekas kaca kerana plastik yang panas akan membebaskan bahan kimia pada makanan.
  • Panaskan setiap 15 saat, kacau dan panaskan lagi 15 saat sehingga puri benar-benar cair.
  • Pastikan haba betul-betul tersebar ke seluruh makanan dan tiada poket haba yang panas tersembunyi di sebalik puri. Poket haba boleh menyebabkan lidah bayi melecur.

2. Panaskan menggunakan api

Masukkan puri ke dalam periuk kecil dan panaskan pada api yang paling kecil. Kacau puri supaya haba tersebar.

3. Cairkan dengan meletakkan puri pada chiller

Letakkan puri di bahagian chiller dan tunggu semalaman. Pastikan puri ditutup rapat supaya tidak tercemar dengan makanan lain di dalam chiller.

4. Rendam bekas di dalam air suam

Rendam bekas yang berisi puri di dalam bekas lebih besar yang berisi air suam. Anda juga boleh memanaskan air di dalam periuk besar, dan masukkan periuk kecil berisi puri ke dalam periuk besar.

Tips berkenaan puri bayi yang sudah dicairkan

  • Jangan simpan atau sejuk beku semula makanan yang sudah dimakan bayi. Makanan tersebut sudah dicemari dengan air liur bayi. Makanan yang tidak dapat dihabiskan perlu dibuang terus.
  • Lebihan puri bayi yang sudah dicairkan tetapi belum disentuh bayi, boleh disimpan di chiller dalam masa maksimum 3 hari. Pastikan makanan ditutup rapat semasa disejukkan.
  • Anda tidak disarankan untuk menyejuk-bekukan semula puri bayi yang sudah dicairkan.

Semoga perkongsian berkenaan puri bayi ini bermanfaat kepada para ibu bapa. InsyaAllah

Sumber: madeformums.com, wholesomebabyfood.momtastic.com (freezing)wholesomebabyfood.momtastic.com (heating & thawing)
Sumber Gambar: babyfoode.commamawarehouse.comnydailynews.com

Kongsikan Artikel Ini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jom Baca Artikel Di Bawah