7 Cara Santai Ajar Anak Menulis & Pegang Pensel

[rank_math_breadcrumb]

Ajar anak menulis dan memegang pensel bukanlah perkara yang mudah seperti yang kita jangka. Kalau tak kena cara, anak boleh mengamuk dan kita juga lebih mudah putus asa. Hal ini mungkin menjadi lebih sulit jika anak sudah mencapai satu posisi yang ‘pelik’ untuk memegang pensel.

Memegang pensel bukan hanya melibatkan kemahiran motor halus anak, malah ia juga melibatkan kemahirannya untuk mengawal otot-otot pada tangan dan bahu. Dengan teknik yang sesuai untuk ajar anak menulis, mereka akan dapat melakukannya dengan baik walaupun secara santai.

7 Cara Ajar Anak Menulis Dan Pegang Pensel

Ketahui 7 cara ajar anak menulis dan memegang pensel dengan betul di bawah.

1. Mulakan Sejak Kecil

Waktu yang terbaik untuk ajar anak menulis adalah antara 4 hingga 5 tahun. Sebelum usia tersebut, latih anak untuk meningkatkan kemahiran motor halusnya terlebih dahulu. Lakukan aktiviti yang melibatkan deria sentuh dan kawalan otot kecil di jari seperti menguli tepung serta mengoyak dan menampal kertas. Latih anak untuk memegang benda-benda kecil dan halus seperti butiran beras, makaroni dan kekacang.

Teknik memegang pensel hanya sesuai diajar ketika anak sudah mula ke taska. Ketika itu dia lebih seronok untuk belajar memegang pensel seperti rakannya yang lain di sekolah.

2. ‘Finger Painting’

Jika anak baru hendak mula menulis, sediakan pelbagai alat tulis termasuk cat air, berus, krayon, dan ‘marker’. Paling asas, biarkan mereka bermain dengan cat air menggunakan jari (finger painting).

Biasakan anak dengan rasa pegangan pelbagai alat pada jari jemari kecilnya. Bila dia sudah mula terbiasa, dia akan memegang pensel dengan satu cara tersendiri. Dari itu, kita boleh lihat sejauh mana kecekapan anak memegang alat tulis. Dengan cara ini juga kita dapat dari mana kita boleh betulkan kesilapan cara memegangnya.

3. Gunakan ‘White Board’ Atau ‘Easel’

Anak kecil selalunya kurang selesa apabila diajak menulis di atas kertas. Ini kerana mereka belum dapat mengawal pergerakan pensel dengan baik.

Oleh itu, cuba dapatkan ‘white board’ atau ‘easel’ yang membolehkan mereka menulis dengan lebih mudah. Sambil belajar dan memupuk minat mereka menulis, boleh main ‘cikgu-cikgu’ sekali!

4. Mulakan Pensel Pendek Terlebih Dahulu

Perkenalkan kepada anak krayon atau pensel yang pendek terlebih dahulu untuk menulis. Pensel yang lebih pendek didapati lebih mudah untuk mereka pegang dan kawal berbanding pensel panjang.

Mereka lebih mudah untuk menumpukan pergerakan jari-jarinya dengan pensel pendek. Apabila sudah mahir nanti, bolehlah gunakan alat tulis pelbagai saiz.

5. Gunakan Pensel Berbentuk Segitiga

Pensel ini dicipta khas untuk mengajar anak supaya dapat memegang pensel dengan cara tripod. Cara pegangan tripod adalah cara paling lazim untuk memegang pensel, di mana seseorang memegang pensel dengan ibu jari, jari telunjuk dan jari hantu yang membentuk segi tiga. Jari manis dan jari kelingking pula digunakan untuk menyokong jari hantu bagi kawalan dan keselesaan ketika menulis.

Pensel jenis ini memudahkan anak untuk belajar memegang dengan selesa. Boleh juga belikan anak ‘pencil grip’ di kedai alat tulis iaitu cincin getah panjang yang boleh disarung ke pensel untuk memudahkan anak memegang pensel. Penggunaan ‘pencil grip’ ini juga disokong oleh guru dan ibu bapa kerana keberkesanannya dalam mengajar anak memegang pensel.

6. Pegang Sesuatu Ketika Menulis

Jika anak masih belajar mengawal pergerakan kelima-lima jarinya semasa menulis, berikan anak sesuatu untuknya pegang pada jari manis dan kelingking ketika menulis.

Anda boleh cuba berikannya bola lembut kecil atau bebola tisu untuk menolongnya asingkan dua jari tersebut ketika menulis. Cara ini berkesan terutamanya untuk anak yang kidal.

7. Cara Mengawal Tekanan

Kebanyakan anak sukar memberikan tekanan sesuai di atas kertas ketika menulis. Ada yang menulis terlalu lembut sehingga sukar untuk dilihat. Ada yang menulis sampai hujung pensel patah atau kertas koyak kerana tekanan yang kuat.

Sebaiknya, ajar anak memegang pensel dengan selesa terlebih dahulu sebelum mengajarnya mengawal tekanan ketika menulis. Bila kita mengajar padanya banyak benda pada satu masa, dikhuatiri minatnya untuk belajar hilang. Sabar dan berikan masa pada anak untuk belajar teknik menulis satu persatu.

ajar anak menulis
Foto Kredit: wikihow.com

Lakukan Secara Berperingkat

Anak berumur sekitar 4 tahun seharusnya sudah boleh melukis garisan melintang dan menegak. Apabila sudah berumur lima tahun, ajarkannya melukis bentuk mudah seperti bulatan dan segi tiga. Bila sudah semakin besar sediakan anak buku aktiviti kanak-kanak.

Aktiviti seperti melukis sambungan titik ke titik dapat melatihnya untuk melukis garisan tegak. Persediaan berperingkat ini dapat membantunya bersedia untuk belajar menulis huruf tidak lama lagi. Yang penting, cuba pastikan aktiviti tersebut tidak membosankan dan menarik minat anak. Barulah mereka seronok!

Kongsikan Artikel Ini

One Comment

Leave a Reply to Siti Khadijah Che Ab Malik Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jom Baca Artikel Di Bawah